Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 2 Oktober 2024, 12:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Oman – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek mengetuai delegasi negara bagi menghadiri Persidangan Menteri Pendidikan anjuran Islamic World Educational, Scientific and Cultural Organization (ICESCO) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Oman dan Suruhanjaya Pendidikan, Budaya dan Sains Oman pada 2 hingga 3 Oktober 2024.

Persidangan ini melibatkan penyertaan Menteri Pendidikan dan delegasi daripada 27 buah negara anggota ICESCO. Penganjuran persidangan ini bertujuan untuk memperkukuh komitmen bagi mentransformasikan pendidikan, selain merapatkan jalinan dan berkongsi amalan terbaik dalam bidang pendidikan.

YB Fadhlina akan menyampaikan kenyataan negara sewaktu persidangan ini dengan memberikan tumpuan bagi memastikan pendidikan berkualiti yang merupakan teras kepada pembangunan lestari. Beliau juga akan berkongsi amalan dan pengalaman Malaysia memperkasakan pendidikan digital dan bidang kecerdasan buatan (AI).

Selain menghadiri persidangan, Menteri Pendidikan turut mengadakan beberapa pertemuan penting termasuklah dengan Ketua Pengarah ICESCO dan ketua perwakilan negara anggota bagi bertukar pandangan berkaitan kerjasama di bawah inisiatif ICESCO dan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Jadual YB Fadhlina di Oman bermula dengan menghadiri Majlis Makan Malam sempena Global Association of Islamic Schools (GAIS) Retreat 2024. Acara ini menghimpunkan barisan pentadbir, asatizah, tokoh pendidikan serta aktivis pendidikan Islam, khususnya daripada sekolah swasta dan persendirian Islam dari seluruh dunia.

Kredit Foto: Facebook YB Fadhlina Sidek
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi