Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 2 Oktober 2024, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Kecerdasan buatan semakin memberikan cabaran terhadap keupayaan pendidik dalam dunia akademia kerana para pelajar pada peringkat pendidikan tinggi dilingkungi oleh dunia keilmuan yang boleh mendapatkan segala maklumat dengan segera.

Demikian jelas Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir semasa berucap dalam Majlis Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2024 (AKRI 2024) dan Perasmian Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA, semalam.

YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata,

Cabaran-cabaran terkini termasuklah dari segi teknologi, aplikasi, kaedah pengajaran yang lebih adaptif dan imersif sebenarnya memerlukan inovasi dan kreativiti yang baharu kerana kaedah pengajaran kini bukan lagi berteraskan kepada kampus tetapi industri.

Justeru, cabaran pendidikan pada hari ini termasuklah untuk keluar daripada pemikiran lama dengan persoalan realiti yang sedia ada di hadapan, tetapi pada masa yang sama proses pengajaran, matlamat pendidikan dan sistem nilai yang hendak diterapkan dalam diri pelajar dapat disampaikan dengan berkesan.

Ujar beliau,

Kita melihat dunia pendidikan berubah dengan begitu pantas, pendekatan dan kurikulum pendidikan, kaedah pedagogi dan peralatan-peralatan yang digunakan dalam dunia pendidikan turut berubah.

Beliau berharap inovasi dalam dunia pendidikan akan terus membantu pembentukan kurikulum dan kaedah penyampaian yang terbaik di universiti, selain memanfaatkan kepintaran supaya dapat memberikan pendidikan yang terbaik kepada pelajar kerana kreativiti dalam pengajaran merupakan perkara yang mustahak.

Tambah beliau,

Generasi yang berada di hadapan kini ialah generasi baharu, unik dan mereka mahukan sesuatu yang lebih pantas, hala tuju yang jelas, kaedah pengajaran melalui kaedah digital berbeza daripada kaedah sebelum ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir semasa menyampaikan ucapannya.

Di samping itu, beliau mencadangkan supaya Hari Akademia yang disambut pada 5 Oktober setiap tahun diperkasakan menerusi penyusunan program yang lebih bermakna untuk menghargai pencapaian dan jasa keilmuan lebih 100,000 orang pendidik di institusi pengajian tinggi selama ini.

Beliau turut berpesan kepada ahli akademik supaya membezakan antara pandangan biasa dengan perkara yang melibatkan disiplin keilmuan, di samping meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang yang dikuasai serta mengelakkan diri daripada mebahaskan sesuatu perkara di luar bidang kepakaran mereka.

Sementara itu, Anugerah Khas YB Menteri Pendidikan Tinggi: Reka Bentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2024 (AKRI 2024) diadakan bertujuan untuk mengenal pasti dan memberikan pengiktirafan sambil berkongsi amalan terbaik projek dan inisiatif yang dilaksanakan.

Sebanyak 27 orang finalis telah disenarai pendek daripada 108 penyertaan dalam empat kategori yang dipertandingkan, iaitu Kurikulum Program Pengajian Inovatif, Pengajaran Transformatif, Pengalaman Pembelajaran Imersif dan Pentaksiran Alternatif.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan), YBhg. Datuk Mohamad Azhan Md. Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman; Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), YBhg. Profesor Datin Dr. Suzana Sulaiman.

Kredit Foto: Facebook KPT
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi