Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim – Buat julung-julang kalinya, pameran aset ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia mewarnai Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam ke-42 Tahun 2024 pada kali ini, selain pameran ikhtiar hidup, demonstrasi anjing perang dan demonstrasi tempur tanpa senjata.
Semua aktiviti tersebut berlangsung selama tiga hari di kawasan tempat letak kereta, Jabatan Pembangunan Pengurusan Harta Benda, Universiti Pendidikan Sultan Idris berhampiran Dewan Tuanku Canselor.
Sementara itu, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah yang mewakili Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mentauliahkan 1435 orang pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) melibatkan 20 buah universiti awam.
Selain itu, sebanyak 35 orang pegawai yang menerima Anugerah Pegawai Terbaik yang terdiri daripada 16 orang Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat, 11 orang Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia dan lapan orang Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff dalam suatu kenyataannya berkata, pegawai kadet yang telah ditauliahkan pada tahun ini melibatkan sebanyak 810 orang Pegawai Muda Rejimen Askar Wataniah, 350 orang Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia dan 275 orang Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia.
Menurut beliau, majlis istiadat tersebut merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh universiti awam di seluruh Malaysia secara bergilir dan UPSI telah menjadi tuan rumah untuk istiadat pentauliahan pada 2014 sebelum ini.