Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Malim – Sebanyak 1435 orang pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dari 20 buah universiti awam seluruh Malaysia ditauliahkan dalam Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam ke-42 Tahun 2024.
Pentauliahan tersebut terdiri daripada Leftenan Muda, Rejimen Askar Wataniah Tentera Darat, Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia dan sebanyak 35 orang pegawai kadet terbaik telah dikurniakan Pedang Kehormat.
Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan mencemar duli untuk menyempurnakan perasmian majlis istiadat tersebut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada pegawai kadet PALAPES yang terlibat kerana mereka telah berjaya melalui latihan dengan sabar, tabah, tekun dan bersungguh-sungguh hingga tersemai semangat wira berjiwa kesateria dalam jati diri mereka demi menjamin kesejahteraan negara Malaysia yang tercinta.
Selain itu, baginda bertitah bahawa keanggotaan pasukan tentera di negara ini tidak dibatasi hanya kepada orang Melayu.
Titah baginda lagi,
Memahami hakikat komposisi rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum, adalah penting diusahakan tanggungjawab mempertahankan negara daripada ancaman musuh dipikul secara bersama.
“Bermakna komposisi angkatan tentera di negara ini tidak dibatasi kepada orang-orang Melayu sahaja.

Di samping itu, anggota tentera hendaklah menjadikan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan sebagai pegangan semasa menyempurnakan amanah dan tanggungjawab agar perjuangan tidak tersasar.
Turut berkenan berangkat ke majlis tersebut, Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim selaku Canselor UPSI dan diiringi oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir serta Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.