Diterbitkan pada 25 September 2024, 17:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Besut – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Timur bersama-sama enam buah lagi agensi pada hari ini menyerahkan sumbangan buku kepada 10 buah sekolah terpilih sekitar Kelantan dan Terengganu dalam usaha memperluas akses capaian kepada bahan bacaan berkualiti dalam kalangan warga sekolah.

Selain DBP, enam agensi penyumbang tersebut ialah Perpustakaan Awam Daerah Besut, Perpustakaan Awam Kelantan, Muzium Kelantan, Muzium Terengganu, Penerbit Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Perpustakaan Abdullah Al-Qari@Sekolah Rendah Islam Al-Qari.

Sumbangan buku tersebut merupakan satu daripada strategi yang dilaksanakan bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) yang bertujuan untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Untuk mencapai kemajuan negara yang kita impikan, rakyat Malaysia mesti menjunjung tinggi ilmu pengetahuan dengan mengamalkan budaya membaca.

Hal ini penting kerana dengan mempunyai ilmu pengetahuan, segala perkara yang bagi kita mustahil untuk dicapai sebelum ini mampu direalisasikan.

Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, mewakili Ketua Pengarah DBP semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Demikian kata-kata YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP semasa membacakan teks ucapan Ketua Pengarah DBP dalam Majlis Perasmian Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas (MDK) Kembali ke Sekolah dan Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Zon Timur 2024 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Besut, Terengganu, pada hari ini.

Terdahulu telah diadakan tiga program MDK secara serentak dengan kerjasama antara DBP dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Yayasan Islam Kelantan, MRSM Kota Putera dan MRSM Besut selaku tuan rumah.

Tiga program MDK tersebut, iaitu Program MDK Dewan Pelajar, Program MDK Dewan Siswa dan Bengkel MDK untuk Guru melibatkan hampir 500 orang guru dan murid sekolah rendah serta menengah sekitar Kelantan dan Terengganu.

Menurut Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail, pelaksanaan program MDK ini menunjukkan iltizam dan kesungguhan DBP dalam memartabatkan bahasa dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan menerusi pengunaan majalah di dalam bilik darjah.

Pengarah DBP Wilayah Timur, Puan Ariza Che Ismail mengalu-alukan sekolah sekitar Pantai Timur untuk mengadakan Program Majalah Dalam Kelas (MDK).

“Melalui penganjuran program MDK, para guru dapat mendidik murid untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai saluran pengungkapan buah fikiran dan ilmu pengetahuan yang berkesan, betul dan indah.”

Beliau juga membuka ruang dan mengalu-alukan mana-mana sekolah di Pantai Timur yang ingin menganjurkan program MDK, boleh mengemukakan permohonan tersebut kepada pihak DBP Timur.

Selain program MDK, turut dianjurkan Sesi Forum Astaka Minda: “Membaca Bukan Budaya?” yang menampilkan YBrs. Dr. Mohd Ghazali Taib, YBrs. Dr. Norzizi Dato Zulkifli, YBrs. Dr. Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Fahd Razy) dan Encik Zamri Mohamad sebagai panel serta Zack Kirana sebagai moderator.

Encik Mohd Hazani Mahadi, Munsyi DBP selaku pembimbing bagi Bengkel MDK untuk Guru yang melibatkan hampir 100 orang guru sekolah rendah dan menengah sekitar Kelantan dan Terengganu.
Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi