Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Karang – “Elemen paling penting dalam Program Duta Guru (PDG) bagi saya adalah latihan bersifat dua hala yang diberikan kepada guru-guru,” jelas Encik Nor Azman Tamit, guru Fizik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Luke, Sarawak. Menurut beliau, latihan ini membekalkan ilmu yang terus boleh diaplikasikan di sekolah, terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam serta luar kelas.
Encik Nor Azman yang mengajar di sekolah luar bandar dengan 70 peratus pelajarnya berasal daripada latar belakang keluarga B40, termasuklah 26 peratus golongan miskin tegar, tetap optimis dengan masa depan pendidikan STEM.

Beliau berkata, “Jika jurang kemiskinan dan peluang dalam STEM tidak diambil perhatian, hanya pelajar yang mampu sahaja akan dapat meneroka bidang ini, terutamanya dalam robotik dan pengekodan. Namun, dengan penyediaan makmal khusus pendidikan digital di sekolah-sekolah luar bandar, pelajar dari golongan B40 juga mendapat peluang yang sama dengan rakan-rakan mereka di bandar.”
Pendidikan STEM adalah berasal daripada singkatan SMET,iaitu Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi. Kemudian, National Science Foundation (NSF) meringkaskan pula kepada STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) bagi memudahkan penyebutan dan memantapkan maknanya bagi setiap elemen.
Sementara itu, Puan Mimi Norashikin Md Jaini dari SMK Panchor, yang juga seorang Duta Guru, menjelaskan bahawa subjek Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) yang diajarnya berkait rapat dengan semua elemen STEM dan inovasi.
“Dengan adanya PDG, saya dapat mengintegrasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dalam projek reka bentuk pelajar saya yang majoritinya terdiri daripada golongan B40. Projek-projek ini kemudiannya akan memberikan nilai tambah kepada mereka dan membuka peluang untuk bersaing di peringkat kebangsaan,” tambah beliau.

Puan Mimi Norashikin dan Encik Nor Azman merupakan Duta Guru di bawah tajuk Duta Guru Pencetus Inovasi, di mana matlamat utama adalah untuk meningkatkan motivasi dan kreativiti pelajar dalam menyelesaikan masalah. Mereka melihat impak positif pendekatan inovatif ini di sekolah masing-masing, dan lebih ramai murid kini bersemangat untuk belajar.

Dalam perancangan masa depan PDG, guru-guru dibawah tajuk Pencetus Inovasi akan terus diberi inspirasi dan galakan untuk mencuba kaedah pengajaran baharu.
Latihan berkala akan terus diadakan bagi memastikan mereka sentiasa dikemas kini dengan teknik pengajaran terkini dan inovatif. Ini akan membantu guru-guru menyesuaikan diri dengan perubahan dalam dunia pendidikan dan meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka.
Selain itu, tajuk Duta Guru sebagai Pemimpin Komuniti turut menjadi salah satu elemen penting dalam memacu perubahan. Zul Afida Abdullah dari Institut Aminuddin Baki, Duta Guru bagi tajuk ini menekankan peranan penting guru sebagai perantara antara sekolah, ibu bapa, pakar industri, dan komuniti setempat. Melalui Duta Guru, pelbagai inisiatif perbincangan tentang pendekatan pengajaran yang lebih efektif telah dijalankan bagi meningkatkan minat pelajar terhadap STEM.
Sebagai rekod, program yang telah berjalan selama enam tahun ini telah melibatkan lebih 1,394 guru dalam bidang STEM dari 145 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara, dengan 499 guru berjaya menamatkan program ini dan dianugerahkan gelaran “Duta Guru.”