Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus berusaha menangani masalah keciciran murid dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui pelbagai inisiatif berfokus yang diperkenalkan secara setempat.
Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek dalam sidang media selepas sesi Perhimpunan Bulanan Peringkat KPM pagi tadi, menegaskan kepentingan intervensi tersebut bagi memastikan semua calon SPM diberikan peluang terbaik untuk menduduki peperiksaan itu.
Walaupun jumlah ketidakhadiran calon SPM telah dikurangkan sebanyak 10,160 pada tahun 2023 berbanding dengan 14,858 pada 2022, KPM terus komited untuk mengurangkan lagi keciciran yang berpunca daripada faktor seperti berhenti sekolah, diberhentikan sekolah dan bekerja.
KPM telah mengadakan dialog prestasi dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara bagi mengenal pasti isu-isu keciciran dengan lebih terperinci.
“PPD akan memberikan tumpuan kepada keadaan demografi tempatan para pelajar yang menduduki peperiksaan SPM untuk menangani masalah ini secara lebih berkesan,” jelas YB Fadhlina.
Antara inisiatif utama KPM termasuklah Program Jom Ke Sekolah dengan Akademi Kenegaraan Malaysia serta Program Remaja Unggul Aspirasi Negara yang bertujuan untuk meningkatkan kehadiran SPM dan sahsiah murid. KPM juga telah melaksanakan pelbagai program seperti Program Gempur Kehadiran SPM, Psikometrik PBS, Program Minda Sihat serta Program Jejak SPM bagi memastikan calon SPM terus mendapat bimbingan dan motivasi yang mencukupi.

KPM bakal bekerjasama dengan Yayasan Hasanah melalui Program Anak Kita yang menyediakan kelas tambahan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik bagi murid Tingkatan 4 dan 5, di samping bimbingan hala tuju selepas menduduki SPM. Inisiatif ini bertujuan untuk membantu murid meningkatkan keyakinan diri dan persediaan akademik mereka.
YB Fadhlina Sidek turut memuji kerajaan negeri yang telah mengambil langkah proaktif dalam usaha melaksanakan program tuisyen negeri masing-masing, seperti Tuisyen Rakyat di Selangor, Tuisyen Tok Wan di Pahang dan Tuisyen Cikgu Shaarani di Perak yang terbukti memberikan kesan positif kepada prestasi SPM masing-masing.
Bagi menghadapi peperiksaan SPM akan datang, KPM juga memfokuskan usaha kepada murid yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah melalui program bimbingan berfokus dan pemugaran bahan sokongan. Langkah ini bertujuan untuk memastikan semua murid lulus dalam kedua-dua mata pelajaran wajib tersebut, sekaligus mampu meningkatkan penguasaan mereka sebelum menghadapi SPM.