Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya — Sejumlah 331 orang kanak-kanak dan remaja yang bernaung di bawah Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) bakal menerima akses pendidikan formal bermula pada 1 Oktober ini. Program pendidikan ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, inisiatif ini bertujuan untuk memastikan kanak-kanak tersebut tidak tercicir daripada sesi pembelajaran disebabkan siasatan yang sedang berlangsung terhadap GISBH.
“KPM komited untuk memastikan anak-anak ini mendapat pendidikan sepenuhnya dan tidak ketinggalan walaupun mereka berada di bawah perlindungan sementara,” jelas beliau dalam sebuah sidang media di Kompleks F, KPM pagi tadi.
Program ini akan dijalankan dalam dua fasa dengan tumpuan kepada aspek literasi dan numerasi. Fasa pertama merangkumi tempoh dua bulan dengan kanak-kanak tersebut akan mengikuti modul khas yang pernah dilaksanakan dalam Program Jom Belajar, iaitu Program Khas Murid Orang Asli (PROKHAS). Modul ini akan disesuaikan untuk memenuhi keperluan pendidikan anak-anak GISBH yang belum pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan.
Sesi pembelajaran akan diadakan di premis perlindungan yang menempatkan mereka dengan pembukaan kelas satelit bagi setiap peringkat pendidikan, termasuklah Prasekolah, Tahap 1, Tahap 2, Menengah Rendah dan Menengah Atas. KPM juga akan menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA) bagi membantu kanak-kanak ini menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan baharu.
Selain aspek pendidikan, kanak-kanak tersebut kini sedang menjalani sesi kaunseling bersama pakar pendidikan.
Setelah sesi kaunseling selesai dijalankan, KPM akan melakukan penilaian kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira serta ujian psikososial untuk menentukan tahap kesediaan mereka.
KPM juga menyatakan bahawa tindakan lanjut akan diambil untuk memastikan kanak-kanak ini dapat diserap kembali ke dalam sistem pendidikan kebangsaan apabila status mereka dimuktamadkan oleh pihak berkuasa.

Inisiatif ini selaras dengan Akta Pendidikan dan Dasar Pendidikan Wajib yang mewajibkan kanak-kanak mengikuti pendidikan rendah selama enam tahun.
Menurut YB Fadhlina lagi, pasukan undang-undang KPM juga sedang meneliti kemungkinan tindakan undang-undang yang mungkin akan diambil oleh ibu bapa kanak-kanak terbabit terhadap KPM.
Kredit foto: Arina Musthafa.