Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek akan mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 di Ibu Pejabat Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Paris, Perancis dari 2 September hingga 4 September 2024.
Menurut Kementerian Pendidikan (KPM), penyertaan Malaysia dalam Minggu Pembelajaran Digital Tahun 2024 bertepatan dengan hala tuju pendidikan negara yang memfokuskan tranformasi pendidikan digital.
“Acara tersebut juga merupakan wadah yang dapat menggalakkan perkongsian amalan terbaik dalam pendidikan digital dan pertukaran pendapat serta maklumat selain meningkatkan pelibatan Malaysia pada peringkat antarabangsa,” jelas KPM dalam satu kenyataan.
Menurut KPM, YB Fadhlina Sidek selaku Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM), turut akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pengarah UNESCO, TYT Xing Qu dan secara rasmi mengumumkan pencalonan Malaysia untuk bertanding bagi kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO penggal 2025 hingga 2029.
Tambah KPM,
Malaysia bersedia untuk bersaing mendapatkan kedudukan dalam Lembaga Eksekutif UNESCO bagi membawa misi pertumbuhan nasional yang inklusif, melindungi alam sekitar, dan mempromosikan keadilan sosial bersandarkan kepada prinsip Membina Masa Depan Yang Berbeza (Build Forward Differently-BFD).
Tambah KPM lagi, Malaysia beriltizam melaksanakan beberapa langkah penting untuk merealisasikan objektif BFD melalui kompetensi UNESCO dalam bidang pendidikan, sains semula jadi, sains dan sains sosial, kebudayaan dan inisiatif kerjasama dengan semua pihak.
“Tindakan strategik ini dapat memberikan sumbangan signifikan kepada impak kelestarian, inklusiviti, mencipta peluang dan keamanan global,” jelas KPM.