Diterbitkan pada 22 Ogos 2024, 20:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Foto: DBP Cawangan Sarawak

Sibu – Program Majalah Dalam Kelas (MDK) yang telah dilaksanakan sejak tahun 1989 merupakan bukti iltizam Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam usaha menyebarluaskan ilmu kepada pelajar dengan menjadikan majalah terbitan DBP sebagai antara kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.

Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Tuan Abdul Rasid Haji Subet ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali Ke Sekolah Peringkat Sarawak.

Menurut Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Tuan Abdul Rasid Haji Subet, Sarawak telah mengadakan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali Ke Sekolah pada 31 Oktober 2023 yang merupakan inisiatif daripada Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari untuk memperkenalkan Program MDK di seluruh Sarawak.

Usaha tersebut diteruskan dengan penganjuran Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali Ke Sekolah Peringkat Sarawak pada tahun ini dengan kerjasama antara DBP Cawangan Sarawak dengan Pejabat Pendidikan Daerah Sibu, Bahagian Majalah dan Bahagian Akademi DBP, bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Sibu, pada hari ini.

Kata beliau,

Pemilihan beberapa bahagian di Sarawak ini khususnya dalam pelaksanaan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali Ke Sekolah membuktikan bahawa DBP berusaha untuk memartabatkan bahasa dan menyebarluaskan ilmu pengetahuan menerusi penggunaan majalah di dalam kelas tanpa menjadikan faktor jarak sebagai halangan.

“Terdahulu, Program MDK turut diadakan di dua buah sekolah terpilih, iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Miri dan Sekolah Menengah (SM) Sains Miri pada 1 dan 2 Ogos yang lalu,” ujar beliau ketika merasmikan Program Gerak Gempur Majalah Dalam Kelas Kembali Ke Sekolah di Dewan SMK Methodist, Sibu.

Ketika menyampaikan ucapan alu-aluan, Pengetua SMK Methodist Sibu, Encik Philip Ling Swee Me turut berkata bahawa pendidikan yang berkualiti bukan sahaja bergantung pada bahan pengajaran dan pembelajaran formal, namun juga penggunaan sumber tambahan yang mampu memperkayakan pengalaman pembelajaran murid.

Tambah beliau,

Kepelbagaian topik yang terdapat dalam majalah menawarkan pelbagai perspektif dan pengetahuan yang dapat menyokong kurikulum sedia ada serta merangsang minat pelajar untuk meneroka lebih jauh.

Pada masa yang sama, turut diadakan Program Majalah Dalam Kelas Dewan Siswa yang melibatkan sebanyak 13 buah sekolah; Majalah Dalam Kelas Dewan Pelajar yang melibatkan sebanyak 13 sekolah dan sebanyak 50 orang guru yang terlibat dalam Bengkel MDK Untuk Guru.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah Sibu, YBrs. Puan Lim Lu Lu; Timbalan Ketua Editor Bahagian Majalah, Puan Aninah Janang; Pegawai Pendidikan Daerah Sibu dan pegawai DBP.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi