Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Zaidah Zakaria
Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited dalam menyelesaikan isu keciciran pendidikan dan akan bergerak dengan progresif dalam membekalkan akses pendidikan secara sama rata kepada pelajar di kawasan pedalaman.
Tahun ini, hasil usaha semua pihak, KPM berjaya memperluas Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) daripada 17 buah sekolah kepada 28 buah sekolah yang menunjukkan penambahan sebanyak 11 buah sekolah dalam tahun 2024 untuk memberikan peluang kepada pelajar belajar di sekolah yang sama dari tahun 1 hingga tingkatan 3 bagi menyelesaikan isu keciciran anak-anak dari kawasan pedalaman.
Demikian petikan ucapan Timbalan Menteri Pendidikan 1, YB Wong Kah Woh semasa merasmikan Karnival Pendidikan Murid Orang Asli dan Peribumi Peringkat Kebangsaan 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pagi tadi.

Penganjuran karnival ini adalah atas usaha Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum (BKPK) dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak yang berlangsung selama dua hari, iaitu dari 21 Ogos 2024 hingga 22 Ogos 2024 di Wisma DBP, Kuala Lumpur.
YB Wong Kah Woh menyifatkan penganjuran karnival ini sebagai usaha progresif yang perlu diteruskan untuk memberikan peluang dan kesamarataan serta akses kepada semua pelajar dalam acara yang dipertandingkan.
Pada masa yang sama, penganjuran karnival ini diharapkan dapat menarik minat pelajar dalam kalangan Orang Asli dan Peribumi dalam bidang bahasa, seni budaya dan bidang Sains dan Teknologi Maklumat (STEM) serta mencungkil bakat dan potensi pelajar selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
Platform sebegini bukan sahaja untuk pelajar mempamerkan bakat dan bersaing secara sihat, tetapi juga penting untuk memberikan peluang kepada guru-guru pembimbing untuk berkongsi pengalaman dan aspirasi tentang pembangunan pendidikan terutamanya di kawasan pedalaman.
Sebagai rekod, sehingga bulan Julai 2024, statistik enrolmen anak-anak dalam bidang STEM adalah sebanyak 50.83 %, iaitu menunjukkan peningkatan sebanyak 10% dalam satu masa yang singkat dan kita harap di bawah aspirasi pendidikan di negara ini, kita dapat melahirkan lebih ramai anak-anak yang berbakat dan dapat menonjolkan kehebatan masing-masing.
YB Wong Kah Wong turut berkesempatan menyampaikan ucapan terima kasih atas kerjasama DBP dengan rakan strategik, iaitu Yayasan Tun Hussein Onn, Yayasan Didik Negara, Petrosains dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam membantu menggerakkan karnival ini.

Melalui penganjuran karnival ini, lebih 10 acara akan dipertandingkan termasuklah pertandingan bercerita, pertandingan robotik, “Young Innovators Challenge”, pertandingan penyampaian berita, tarian tradisional, syair serta nyanyian duet dan solo.
Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada Amir Sisi, anak Orang Asli pertama yang menjuarai program realiti nyanyian di Malaysia.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Haji Abdul Muie Ngah, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM; YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah DBP; YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Ghazali, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Guru Tun Hussein Onn; YBrs. Puan Sabarina Jamaluddin, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Perak; pengarah-pengarah pendidikan negeri, ketua-ketua jabatan, pegawai kanan KPM serta kontinjen pelajar Orang Asli dari 98 buah sekolah dari tujuh buah negeri dan pelajar Peribumi dari 23 buah sekolah di Sabah dan Sarawak.