Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – “Jangan terlalu terperangkap dengan penulisan orientalis tanpa pemikiran kritis yang sejarahnya cenderung bias dan kononnya mereka orang penting dalam ‘mentamadunkan’ penduduk negara bangsa,” demikian ucap Tuan Yang Terutama (TYT), Yang di-Pertua (YDP) Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Jelas beliau, perkara ini dapat dilihat berlaku di Sarawak sehingga menyebabkan naratif penulisan sejarah Sarawak kurang bergerak ke hadapan kerana masih memperlihatkan peranan kerajaan Brooke sebagai orang penting.
Malah terdapat beberapa penulis upahan Barat disuruh menulis buku bertajuk ‘A History of Sarawak Under Its Two White Rajahs 1839 – 1908’, sedangkan masyarakat Sarawak sudah mempunyai tamadunnya yang sendiri sebelum ‘digelapkan’ oleh Brooke.
Demikian antara inti pati yang diucapkan oleh TYT YDP Sarawak ketika menyampaikan Syarahan Negarawan yang bertajuk “Literasi Sejarah Membijaksanakan Bangsa”, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), pada pagi ini.

Tambah beliau lagi, kekeliruan dan ketidakfahaman tentang sejarah bangsa dan negara sendiri membawa kepada salah tafsiran sejarah yang boleh mengancam kesepaduan dan keharmonian kaum yang dinikmati di negara ini sejak dahulu.
“Literasi sejarah yang menekankan perihal memahami, menghayati serta menghargai sejarah pembentukan Malaysia yang merdeka sebenarnya dapat menyuburkan semangat patriotik, serta memperkukuh integrasi nasional dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” ujar beliau dengan lebih lanjut.
Menyentuh tentang pembentukan Malaysia, beliau turut menyentuh tentang status negeri Sarawak sebelum penubuhan Malaysia pada tahun 1963.
“Perlu diketahui umum bahawa Sarawak ialah ‘British Protectorate’ (sejak tahun 1888) apabila Brooke menyerahkan Sarawak kepada British pada tahun 1948, bukan negara merdeka sebagaimana ramai yang menganggapnya.”
Terdahulu, dalam majlis yang sama, turut diadakan Bicara Buku Evolusi Parlimen dan Evolusi Speaker Parlimen Malaysia Edisi Ketiga yang ditulis oleh TYT YDP Sarawak sendiri.
Buku tersebut menyingkap tentang peranan institusi kerajaan, khususnya Parlimen sebagai sebuah entiti penting dalam pembinaan negara selain membincangkan peristiwa yang berlaku sebelum, semasa dan selepas COVID-19 dalam pentadbiran negara.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah isteri TYT YDP Negeri Sarawak, YAB Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi; Menteri Perpaduan Negara, YB Datuk Aaron Ago Dagang; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, dan Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari.
Kredit foto: Khairul Azhar Baharuddin