Diterbitkan pada 16 Ogos 2024, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya: Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peningkatan gaji paling tinggi dalam sejarah yang dinanti-nantikan oleh 1.6 juta orang penjawat awam.

Perdana Menteri berkata justeru mulai Isnin ini, beliau mahu melihat perubahan, iaitu penjawat awam bekerja dengan lebih bersemangat dengan budaya kerja yang baharu.

Katanya, beliau tidak mahu selepas peningkatan yang diberikan itu, perkhidmatan kepada orang awam masih di takuk lama. Ganjaran berupa peningkatan gaji ini haruslah seiring dengan peningkatan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita tidak mahu selepas peningkatan gaji tetapi rakyat masih pertikaikan, kenapa kami masih menunggu lama sehingga dua jam untuk mengambil lesen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19, di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Perdana Menteri turut menegaskan ganjaran hanya diberikan pada kakitangan awam yang berkhidmat dengan setia, amanah dan cemerlang.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam agar tidak memandang ringan dan remeh soal nilai dan integriti yang menjadi tonggak perkhidmatan awam.

Sementara itu, kerajaan bersetuju Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan dengan  Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa pada 1 Disember 2024.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi