Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Delegasi Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi, Lembaga Pengarah Universiti KUIPs, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran dan Rektor KUIPs, Prof. Dr Muhamad Rozaimi Ramle mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif.
Kunjungan ini bertujuan untuk membina hubungan strategik di antara KUIPs dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, serta membincangkan kolaborasi yang boleh diwujudkan dalam memampan pendidikan tinggi rakyat Sabah.

Dalam pertemuan itu, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin dan Rektor KUIPs turut memaklumkan tentang peluang pengajian yang ditawarkan oleh KSTI Sabah kepada pelajar yang ingin menyambung pengajian pada peringkat Asasi, Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD). Sambung Datuk Abang Sallehuddin lagi:
Di KUIPs, pelajar yang terpilih akan ditawarkan Biasiswa Pendidikan Tinggi MAIPs-KUIPs, iaitu biasiswa penuh pengajian yang ditawarkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan dan ingin melanjutkan pengajian kelak.

Dalam pada itu, syarat permohonan untuk pengajian bagi sesi akademik di KUIPs ditawarkan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat minimum tiga kredit, manakala bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula, memadai dengan Purata Nilai Gred minimum 2.0 dan bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), syarat minimumnya, memadai dengan mendapat Maqbul.
Kunjungan ini diharap dapat memberikan peluang kepada pelajar dari Sabah untuk melanjutkan pengajian di KUIPs kelak.