Diterbitkan pada 4 Julai 2024, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada hari ini telah meraikan sebanyak 135 karyawan bersempena dengan Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Perkhidmatan (AP) yang disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi.

YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Perkhidmatan (AP) yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, pada hari ini.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian, YBhg. Dato’ Indera Nik Nasarudin mengingatkan bahawa tentang aspirasi “The G.R.E.A.T Civil Service” yang pernah disebut oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali untuk dihayati dan dipraktikkan dalam kalangan karyawan DBP.

“Selaras dengan frasa ‘Saya yang menjalankan amanah’, kita perlu menghayati bahawa setiap perintah, tugasan dan tanggungjawab ialah amanah yang perlu digalas dengan sebaik-baiknya.

“Sebagai sebuah organisasi yang terbilang dan gemilang, DBP memerlukan warga kerja yang profesional, progresif, kreatif, inovatif, berketerampilan, bijaksana yang holistik untuk bersama-sama menjayakan semua dasar DBP dan kerajaan,” ujar beliau dalam majlis tersebut.

Tambah beliau,

Saya berharap agar penghargaan ini bukan sahaja bertujuan untuk menjadikan pegawai berkenaan sebagai contoh kepada pegawai lain untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan, bahkan akan menggalakkan persaingan secara sihat dalam kalangan karyawan demi diri dan organisasi.

 

YBrs. Dr. Hazami ketika menyampaikan ucapan alu-aluan turut merakamkan ucapan tahniah buat semua penerima AP dan APC 2023.

Menurut Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata bahawa sebanyak 543 orang calon dalam kalangan karyawan DBP layak dipertimbangkan untuk APC tahun 2023 berdasarkan markah prestasi mereka yang cemerlang, namun hanya 62 orang karyawan yang layak menerima anugerah tersebut.

“Penerima AP dan APC juga telah dipilih dalam kalangan karyawan yang mempunyai rekod kehadiran yang baik serta memperlihatkan disiplin serta sahsiah diri yang baik,” ulas beliau ketika menyampaikan ucapan alu-aluan bersempena dengan Majlis Penyampaian Sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Anugerah Perkhidmatan (AP) yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.

Kesemua 73 orang penerima AP tersebut menerima sijil penghargaan dan sijil simpanan premium mengikut tempoh perkhidmatan masing-masing, iaitu Perkhidmatan 15 tahun menerima (sijil simpanan premium RM200.00); perkhidmatan 20 tahun (sijil simpanan premium RM350.00); perkhidmatan 25 tahun (sijil simpanan premium RM500.00); perkhidmatan 30 tahun (sijil simpanan premium RM750.00); perkhidmatan 35 tahun (sijil simpanan premium RM1000.00); dan perkhidmatan 37 tahun (wang tunai RM5000.00).

Manakala sebanyak 62 orang penerima APC 2023 menerima Sijil Perkhidmatan Cemerlang, Hadiah Prestasi sebanyak RM1000.00 dan diberikan peluang dalam pencalonan untuk menerima pingat, bintang dan darjah kebesaran persekutuan dan negeri.

Antara tetamu kehormat dan karyawan DBP yang turut hadir bagi meraikan penerima AP dan APC 2023.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Dato’ Dr. Anuar Rethwan; Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBrs. Dr. Muhaimin Sulam; Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP, YBrs. Tuan Haji Md Johari Hasan; Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah, Pengarah Jabatan, Ketua Bahagian dan karyawan DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi