Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Khairul Azhar Baharuddin dan Mohd Farid Janudin
Kuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100, khususnya untuk pembelian buku novel klasik, novel karya Sasterawan Negara serta buku yang bertemakan pendidikan digital serta kecerdasan buatan, dan pembelian ini tidak termasuk bahan picisan.
Tema buku ini diusulkan selari dengan gagasan Malaysia MADANI yang menganjurkan pemerkasaan ekonomi serta budaya dan dalam masa yang sama mengangkat martabat rakyat yang mempunyai akhlak tinggi serta menguasai ilmu.
“Kuasai bahasa dengan baik, cintai dan berakarlah kepada budaya kita, namun dalam masa yang sama, kita perlulah menggapai ilmu baharu,” ujar beliau semasa merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024, di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, pada petang ini.

Perkara ini menjadi sebahagian daripada mekanisme penggunaan baucar buku tersebut demi menjamin budaya membaca yang berkualiti dalam kalangan golongan muda.
Tambah beliau, “Dalam amalan lalu, kadang-kadang, buku yang dipilih ialah buku yang picisan dan tidak bernilai.”
Dalam ucapan yang sama, YAB Dato’ Seri Anwar turut menekankan kepentingan menghidupkan budaya membaca dan mencintai ilmu.
Tanggungjawab kerajaan membimbing ibu bapa dan para guru supaya dapat melatih dan mendedahkan anak-anak agar dapat menilai antara maklumat dengan ilmu dan mencapai hikmah dan kebijaksanaan.
Baucar buku tersebut akan diberikan kepada murid sekolah rendah, bermula dengan murid darjah empat; murid sekolah menengah; pelajar universiti dan kolej serta penuntut institut perguruan.

Pemberian baucar ini akan diberikan berdasarkan buku yang akan dicadangkan dan mengikut mekanisme yang akan ditetapkan bermula pada pukul 2.00 petang, esok, agar dapat dimanfaatkan sebelum berakhirnya PBAKL 2024, pada Ahad ini.
“Kita akan anjurkan senarai buku-buku supaya sebahagian daripada wang itu digunakan untuk membeli buku yang diusulkan dan sebahagian kita beri kelonggaran untuk anak-anak memilih (buku) sendiri,” ujar YAB Dato’ Seri Anwar lagi.
Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Besar Selangor, YB Dato’ Seri Amirudin Shari; Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh; Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2024, Encik Khair Ngadiron; dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Hazami Jahari.