Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Adib Zulkifli
Kuala Lumpur – “Petunjuk yang saya anggap memberikan beban yang sangat besar kepada industri perbukuan adalah apabila kita terlalu mengangkat e-buku. Hal ini telah disalah tanggap oleh kerajaan dengan beranggapan bahawa menerbitkan e-buku murah kosnya.”
Demikian menurut YBrs. Tuan Haji Sakri Abdullah, Pengarah Urusan, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dalam Dialog Pemerkasaan Industri Perbukuan dengan tema “Dukungan Kerajaan dalam Pembangunan Industri Perbukuan”.
Jelas beliau;
Pasaran e-buku di Malaysia kecil dan masalah akan timbul apabila kita membandingkannya dengan statistik penerbit luar negara yang pasaran e-bukunya lebih besar.
Katanya lagi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga menekankan penggunaan e-buku kerana lebih murah. Akibatnya, berkurangnya judul buku baharu atau lebih cenderung kepada judul buku yang diolah kembali supaya kosnya menjadi lebih rendah. Boleh dikatakan hal ini merupakan bencana kepada industri kerana salah memberikan petunjuk.

Menurut YBrs. Tuan Haji Sakri Abdullah, pemindahan pengetahuan dengan cepat adalah melalui terjemahan dan ITBM mengalu-alukan kerjasama semua pihak dalam kerja terjemahan buku dan perkara tersebut perlu juga dilihat dari segi nilai komersial untuk mengelakkan hanya tersimpan di stor.
Sementara itu, ahli panel lain yang turut diundang ialah YBrs. Puan Adibah Omar, Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB) yang menyatakan bahawa PKB bergerak berdasarkan dua aspirasi, iaitu memperjuangkan pendemokrasian akses perbukuan dan mencipta permintaan kepada penawaran produk dalam industri buku.

Jelas beliau;
PKB kini sedang memfokuskan lima produk, iaitu kota buku digital, mini kota buku mendigitalkan proses tempahan dan bayaran surat khabar di sekolah, e-baucar buku dan local going global dengan kerjasama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).
Dialog Pemerkasaan Industri Perbukuan turut mengundang YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka dan YBrs. Encik Mohd Khair Ngadiron, Pengarah Urus Setia Tetap MBKM sebagai ahli panel.
Sementara itu, YBrs. Tuan Haji Ishak Hamzah, Profesor Adjung, Universiti Putra Malaysia pula bertindak sebagai moderator.
