Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Hanafi Mohd Yusof
Kuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertegas dengan komitmen kementerian tersebut untuk memastikan pendidikan digital di negara ini dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.
Hal ini seiring dengan Dasar Pendidikan Digital yang berkaitan rapat dengan perkembangan teknologi digital pada peringkat global dan nasional, yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek pada penghujung tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Tuan Wong Kah Woh berkata, dalam usaha membangunkan pendidikan digital, terdapat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan.
Katanya, “Yang pertama, kita perlu memastikan infrastruktur di sekolah dan institusi pendidikan lengkap dengan keperluan digital.”
“Yang kedua, guru-guru harus dilatih dan sedang dilatih untuk memastikan bahawa setiap guru fasih digital.
“Yang ketiga, dengan satu matlamat dan tujuan untuk melahirkan murid yang fasih dan mahir dalam bidang digital,” jelasnya.
Menurut YB Tuan Wong Kah Woh, “Di pihak KPM, kami amat berbangga dengan platform yang dibangunkan khasnya oleh Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, iaitu platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).”
“Platform ini memberikan kemudahan kepada anak-anak bagi memastikan pembelajaran dilakukan sepanjang masa sekiranya mereka memiliki peranti dan akses kepada Intenet,” jelas beliau.
Katanya lagi, hingga Mei 2024, sejumlah 788 judul buku teks telah dimuat naik dalam platform DELIMa.
Jumlah tersebut meliputi sebanyak 352 judul buku teks sekolah menengah dan 436 judul buku teks sekolah rendah yang boleh diakses oleh anak-anak di mana-mana sahaja.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bahan Sokongan Digital Pendidikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pentas Utama, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, petang tadi.
Pelancaran sebanyak 37 judul bahan sokongan digital pendidikan tersebut dilaksanakan bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di sini sejak 24 Mei 2024 yang lalu.
“Kesemua judul bahan sokongan digital pendidikan DBP akan lebih mantap sekiranya dapat dimuatkan dalam platform DELIMa,” ujar YB Tuan Wong Kah Woh.
Bahan sokongan digital pendidikan tersebut merupakan bahan rujukan tambahan yang dihasilkan oleh DBP, khasnya Bahagian Buku Sekolah berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) bagi menyokong kandungan buku teks KPM.
Bahan sokongan pendidikan yang diterbitkan ini meliputi pelbagai mata pelajaran untuk sekolah rendah dan sekolah menengah.
Bahan tersebut boleh diakses melalui platform JendelaDBP dan saluran YouTube DBPMalaysia.
Antara judul bahan sokongan digital pendidikan tersebut termasuklah Raya Dulu Raya Kini, Uniknya Rumah Botol, Siri Asas Renang, Didik Seni Visual, Kemahiran Motor Kasar, Biasakan yang Betul, Pintar Matematik, ADIK Cipta dan ADIK Bicara.

Dalam majlis yang sama, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Tuan Haji Md Johari Hasan berkata, bagi memenuhi keperluan semasa, pihak DBP sedang mengusahakan penerbitan Buku Teks Digital Interaktif: Cekap Baca dalam masa terdekat ini.
“Pemilihan bahan berkenaan sesuai dibangunkan dalam bentuk buku teks digital interaktif bagi menarik minat kanak-kanak atau murid sekolah rendah untuk menguasai asas membaca dalam bahasa Melayu sambil melalui pengalaman menggunakan teknologi terkini,” ujarnya.
Yang turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Yang Berusaha Tuan Haji Azman Haji Adnan; Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Sektor Operasi Sekolah, Yang Berusaha Encik Zainal Abas; dan Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa serta Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah DBP, Encik Ruslan Abdull Raffar.