Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Hanafi Mohd Yusof
Kuala Lumpur – “Konsep pertandingan ini sangat unik kerana menggabungkan unsur sastera dan teknologi untuk memberi kelainan daripada produk yang lain.” Berikut ulasan daripada Encik Ahmad Syukran Mohd Idris, Pengarah Urusan Syarikat Moteevasi Media Sdn. Bhd., yang juga merupakan ahli panel Bicara Digital: Pertandingan Tukang Cerita yang diadakan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada hari ini.

Bersempena dengan penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada tahun 2024, Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Siri Bicara Digital. Siri bual bicara yang mengkhususkan program kerjasama antara DBP dengan pihak luar ini berteraskan alih wahana bahan sastera kepada produk teknologi.

Siri Bicara Digital pada kali ini membicarakan tentang penganjuran Pertandingan Tukang Cerita. Encik Ahmad Syukran Mohd Idris, Pengarah Urusan Syarikat Moteevasi Media Sdn.Bhd., tampil selaku ahli panel manakala panel dari DBP pula diwakili oleh Encik Mohd Hafizi Ahmad, Ketua Unit Swasta dan Moderator Puan Zanariah Mohd Tap juga dari DBP.
Pertandingan Tukang Cerita akan diadakan pada tahun ini berkonsepkan penceritaan bertema yang memerlukan peserta menyampaikan cerita dengan melengkapkan empat disiplin utama, iaitu berpantun, bersyair, bergurindam dan bersajak. Kesemua karya tersebut perlulah karya asli Persembahan oleh juara pertandingan ini akan dialih wahana kepada medium animasi.

Menurut Encik Hafizi,
Estetika bahan sastera itu sendiri cukup anjal untuk berevolusi mengikut zaman dengan syarat diadun dengan kreativiti dan penyesuaian kepada teknologi semasa.

Turut hadir sama dalam program ini ialah Puan Roziah Md Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP.
