Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHulu Langat – Bersempena dengan tema Sambutan Hari Guru 2024, “Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara MADANI”, Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Kelubi memperkenalkan sistem digital pengurusan perpustakaan, Hybrid Catalogue Handling and Management (HyCHAM).
Sistem HyCHAM ini dilancarkan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Negeri Selangor, Encik Mohommad Nuri Hussin di SK Lubok Kelubi, baru-baru ini.

Sistem HyCHAM yang dibangunkan sendiri sepenuhnya oleh Guru Perpustakaan dan Media SK Lubok Kelubi, Puan Nurul Izzah Haji Yaacob, menggunakan bahasa pengaturcaraan Python dan NodeJS, HyCHAM, dan menggabungkan teknologi terkini dengan kecekapan operasi yang canggih.
Selain itu, sistem yang menggunakan nombor ISBN buku sebagai asas perekodan buku ini membolehkan penggunaan antara muka atur cara aplikasi (API) daripada Google Books dan OpenLibrary untuk menjana maklumat buku secara automatik.
Menurut Puan Nurul Izzah, beliau mengambil inisiatif memulakan projek pembangunan HyCHAM pada Disember 2023 kerana menyedari kos yang tinggi untuk membeli sistem perisian pengurusan buku yang baharu bagi pusat sumber sekolah.
Antara ciri utama HyCHAM termasuklah penggunaan kiosk layan diri mudah alih menggunakan komputer papan tunggal Raspberry Pi dipadankan dengan skrin sentuh tujuh inci.
Dalam konteks tema “Guru Jauhari Digital”, HyCHAM mencerminkan aspirasi negara dalam usaha menggalakkan pendigitalan sistem pendidikan negara.

HyCHAM menyediakan sistem papan pemuka pengurusan yang komprehensif, memberi kemudahan kepada guru pusat sumber untuk menguruskan katalog perpustakaan secara efisien, memantau trend peminjaman, dan membuat keputusan strategik mengenai pengurusan perpustakaan.
Pelajar dan guru dapat menikmati interaksi perpustakaan yang efisien melalui pengimbas kod bar, pengenalan wajah, dan pengimbas cap jari sekali gus menjadikan pengalaman meminjam dan memulangkan buku lebih interaktif dan mudah.