Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) menawarkan peluang pekerjaan melalui pemadanan bidang dengan kerjasama pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan beberapa agensi pekerjaan kepada veteran ATM yang tidak bekerja selepas tamat perkhidmatannya dengan pasukan masing-masing.
JHEV ATM melalui kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) menyediakan satu sistem maklumat bagi setiap anggota tentera yang bakal menamatkan perkhidmatan dalam jangka masa dua atau tiga tahun dengan memilih kursus berkaitan dengan kecenderungan individu dalam bidang pekerjaan tertentu, termasuk menyediakan kursus Pemahiran Semula dan Peningkatan Kemahiran.
Sebanyak 800 orang bakal pesara ATM telah menjalani kursus Occupational Safety and Health for Supervisor di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) yang merupakan persediaan bagi menjalani kehidupan selepas persaraan.
Demikian dipersembahkan pemakluman oleh Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejar Jeneral Zambery Jefry Haji Darus kepada Tuanku Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
DYTM Tuanku Raja Muda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis, Mejar (Kehormat) DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dalam majlis sembah menghadap tersebut.
Turut sama hadir, Ketua Pegawai Operasi Yayasan Veteran ATM, Leftenan Kolonel Azwadi Jamian (B) dan Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia, Datuk Haji Ismail Haji Abidin.
Sesi yang berlangsung ini bertujuan untuk memastikan para veteran ATM bersedia untuk menjalani kehidupan sebagai orang awam dan mempunyai persediaan yang rapi dalam sektor pekerjaan.
Objektif utama JHEV ATM adalah untuk membantu para pesara tentera dalam meningkatkan taraf sosioekonomi mereka setelah menamatkan perkhidmatan dalam ATM.
JHEV ATM akan terus berusaha untuk menjalankan pelbagai kerjasama dan program bagi memastikan objektif tersebut tercapai.
DYTM Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah turut bertukar-tukar pandangan dengan Zambery Jefry sebagai penambaikan kepada pihak JHEV ATM untuk dipertimbangkan.