Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Ipoh – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkasakan pendidikan digital di semua sekolah bagi memastikan tiada kanak-kanak, khususnya murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) tercicir dalam mendapatkan pendidikan yang sewajarnya.
Hal ini sejajar dengan Dasar Pendidikan Digital (DPD) dan pelantar pembelajaran Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) yang dibina sebagai satu platform sistem pengurusan pembelajaran secara dalam talian yang memfokuskan penyediaan sumber, panduan dan maklumat lengkap kepada guru dan juga murid yang boleh diakses di mana-mana serta pada bila-bila masa.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek berkata,
Pendigitalan seharusnya menjadi satu budaya dalam mencemerlangkan dunia pendidikan masa ini.
“Sesuai dengan tuntutan perkembangan semasa, penekanan digital dan inovasi akan memberikan nilai positif yang berkesan dan dinamik ke arah transformasi pendidikan negara.
Tambah beliau,
MBPK sebagai generasi muda juga tidak ketinggalan untuk dididik mengenai keperluan menapis maklumat yang betul dan tepat, yang akhirnya memberikan manfaat kepada pendidikan negara.


Demikian kata-kata Menteri Pendidikan dalam Majlis Perasmian Penutupan Wacana Ilmu: Pemerkasaan Pendidikan Digital Guru Pendidikan Khas di Negeri Perak Tahun 2024 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Jelapang Jaya pada petang tadi.
Menerusi program tersebut, beberapa ceramah berkaitan dengan pendidikan digital, iaitu Pembangunan Modal Insan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas melalui Pendigitalan, Pendidikan Kompeten Digital dan Pelantar Pembelajaran DELIMa telah diadakan untuk lebih daripada 400 orang guru pendidikan khas dan pegawai pendidikan di Perak.
Ketika berbicara dalam majlis tersebut, YB Fadhlina berpendapat bahawa pembelajaran pelantar DELIMa merupakan satu daripada kejayaan KPM dalam membudayakan pendigitalan bahan pendidikan.
Menerusi kenyataannya juga, beliau berkata,
KPM komited dalam menyusun strategi untuk merangkumkan pelbagai sumber pembelajaran dan pendidikan digital dengan meningkatkan kecekapan akses untuk guru dan murid.
Sementara itu, YB Fadhlina turut merasmikan penyampaian sumbangan berbentuk peranti teknologi maklumat dan komunikasi (TMK), penyerahan cek sumbangan elaun MBPK, sijil kemudahan mesra orang kurang upaya serta sijil kepada MBPK yang mengikuti Global IT Challege for Youth with Disabilities (GITC) 2023 di Abu Dhabi, baru-baru ini.

Majlis Perasmian Penutupan Wacana Ilmu: Pemerkasaan Pendidikan Digital Guru Pendidikan Khas di Negeri Perak Tahun 2024 dihadiri oleh Ahli Undangan Negeri, Ulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad; Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Encik Zainal Abas; Pengarah Bahagian Pendidikan Khas, YBrs. Dr. Rodiah Idris; Pengarah Pendidikan Negeri Perak, YBhg. Dato’ Mohamad Fauzi Mahson; Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Puan Fauzilahyatun Mustafa; dan para pegawai dari KPM dan DBP.
Sumber foto: KPM