Diterbitkan pada 15 Mac 2024, 22:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Semporna – Penyelidikan yang meluas dan menyeluruh perlu dilaksanakan untuk menangani cabaran aktiviti jenayah rentas sempadan yang semakin meningkat dengan lebih berkesan.

Kebimbangan ini termasuklah pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia dan pencerobohan pesawat tentera asing ke ruang udara negara.

Perancangan strategik pembangunan organisasi ketenteraan yang teliti amat penting untuk dilaksanakan kerana sebarang kesilapan boleh mengakibatkan kemudaratan negara merentasi pelbagai bidang.

Demikian titah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama-sama warga KD Sri Semporna yang berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Semporna, Sabah.

Majlis Berbuka Puasa bersama-sama warga KD Sri Semporna yang berlangsung di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Semporna, Sabah.

Titah baginda lagi,

“Lokasi geografi Malaysia yang tersendiri menyebabkan negara berhadapan dengan pelbagai isu keselamatan sempadan, merangkumi darat, laut dan udara.

“Malangnya, akibat daripada cabaran ini, ada anggota keselamatan kita telah kehilangan nyawa mereka semasa menjaga keselamatan negara.

“Bagaimanapun, isu keselamatan sempadan di Malaysia agak kompleks berikutan persamaan budaya dan pertalian persaudaraan antara beberapa kelompok masyarakat di negara jiran,”

Oleh itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru agar pasukan keselamatan negara terus kukuh menggembleng tenaga dan berpegang teguh pada ikrar demi mempertahankan kedaulatan tanah air tercinta.

Sesetengah negara membangunkan organisasi ketenteraan untuk terlibat dalam peperangan tetapi negara lain seperti kita sudah pastinya memberikan tumpuan kepada matlamat utama kita, iaitu untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Keberangkatan baginda disambut oleh Panglima Wilayah Laut 2 TLDM, Laksamana Muda Datuk Khir Junaidi Idris, J5 Markas Angkatan Bersama, Laksamana Haji Muhammad Rodhi Ariffin dan Pegawai Memerintah KD Sri Semporna, Komander Noorhakimie Isa TLDM.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari.

Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan mengadakan lawatan dan memeriksa aset terkini Pasukan Khas Laut (PASKAL) TLDM di pangkalan tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi