Diterbitkan pada 11 Mac 2024, 12:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
YB Fadhlina Sidek turut hadir ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Sungai Long, Kajang, bagi memberikan semangat dan nasihat kepada para murid bersempena dengan Sesi Akademik Penggal 2024/2025.

Kajang – Rata-rata murid dilihat teruja dan merasai pengalaman yang berbeza menerusi gelagat mereka pada hari pertama memulakan alam persekolahan.

Tinjauan JendelaDBP sebelum hari pertama pembukaan sekolah semalam mendapati bahawa kebanyakan ibu bapa membuat persiapan seperti membeli peralatan sekolah termasuklah kelengkapan seperti uniform sekolah, buku dan alat tulis. Kini debaran itu tertumpu pula pada hari pertama persekolahan Kumpulan B pada hari ini.

Kanak-kanak yang mula memasuki sekolah rendah kelihatan teruja sambil ditemani oleh ibu bapa masing-masing. Ada yang ditemani ibu bapa hingga sesi persekolahan selesai. Terdapat juga ibu bapa yang mengambil cuti demi merasai kenangan pada hari pertama persekolahan.

Tinjauan pembukaan hari pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Putera, Kuala Langat, Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang West Country Barat dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bandar Sungai Long, Kajang turut menyaksikan kehadiran Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek yang mengadakan lawatan kerja sempena pembukaan sekolah sesi akademik 2024/2025.

Sesi Persekolahan Penggal 2024/2025 bagi Kumpulan B yang bermula pada hari ini melibatkan lebih lima juta orang pelajar prasekolah hingga Tingkatan 5 di seluruh negara.

Tinjauan JendelaDBP hari ini di SK Saujana Putra pada hari ini mendapati kebanyakan ibu bapa menemani anak masing-masing, khususnya murid Darjah Satu.

Seawal pukul 6.30 pagi Bandar Saujana Putra mulai sesak dengan kenderaan ibu bapa yang menghantar anak mereka sama ada dengan menaiki kereta mahupun motosikal.

Difahamkan bahawa sekolah ini boleh memuatkan sebanyak lebih daripada 2000 orang murid yang beroperasi secara dua sesi, iaitu sesi pagi dan sesi petang.

Murid kelihatan teruja dengan kehadiran Menteri Pendidikan di sekolah mereka pada hari ini.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek meluangkan masa lebih satu jam semasa meninjau perjalanan hari pertama di sekolah tersebut.

Sebenarnya pembukaan sekolah ini amat ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan masyarakat Kuala Langat kerana sekolah ini mula beroperasi sepenuhnya pada hari ini.

“Alhamdulillah akhirnya sekolah ini dapat dibuka dan beroperasi sepenuhnya secara dua sesi,” jelas beliau dalam sidang media yang diadakan di sekolah tersebut.

YB Fadhlina juga berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia menambah baik kemudahan di SK Saujana Putra bagi memenuhi keperluan pelajar di sekitar Kuala Langat.

Kita berharap selepas ini kita dapat tambah baik apabila melihat kapasiti 46 orang pelajar yang ditempatkan dalam sebuah kelas.

“Kita akan tambah baik lagi dari semasa ke semasa dan sekolah pula akan dilengkapi dengan kemudahan seperti makmal, bilik muzik, surau, kantin dan sebagainya.

“Insya-Allah mudah-mudahan sekolah ini dapat beroperasi dan dipermudahkan urusan ibu bapa dan anak-anak.

Sesi Persekolahan Penggal 2024/ 2025 Kumpulan B melibatkan sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi