Oleh Ad Aman
Diterbitkan pada 11 Mac 2024, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bermula pada hari Ahad, lebih daripada lima juta pelajar di seluruh negara memulakan kembali memulakan sesi persekolahan 2024/2025.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Tuan Haji Azman Adnan memaklumkan bahawa jumlah itu membabitkan murid dan pelajar prasekolah hingga tingkatan lima di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1.44 juta pelajar memulakan sesi persekolahan 2024/2025 di negeri Kumpulan A, iaitu Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan pada hari Ahad.

Bagi negeri di Kumpulan B, menyaksikan pembukaan sekolah pada Isnin.

Dalam tinjauan yang dilakukan di sekolah sekitar Kuala Lumpur pada hari ini, didapati ibu bapa dan murid begitu bersemangat untuk kembali memulakan sesi persekolahan baharu.

Nor Shariza Mahidin.

Nor Shariza Mahidin, 37, berkata, ketiga-tiga anaknya yang masing-masing berusia tujuh tahun, 10 tahun dan 12 tahun sememangnya teruja untuk memulakan sesi persekolahan kali ini.

Sebab sudah cuti lebih sebulan, memang mereka cakap rindu hendak jumpa kawan-kawan di sekolah.

Pada masa yang sama, dia yang bekerja sebagai kerani di Kuala Lumpur juga berpandangan keterujaan kembali ke sekolah itu juga dilihat tidak menjejaskan semangat ketiga-tiga anaknya.

Tambah beliau, hal ini demikian kerana anaknya sudah mengikuti hari persekolahan pada tahun lalu. Oleh itu, mereka sudah terbiasa dengan situasi berkenaan.

“Saya tidak rasa ada perbezaan sebab sebelum ini pun tarikh buka sekolah dengan bulan puasa memang dekat.

“Cuma, mungkin mereka akan keletihan sikit sekarang cuaca pun panas,” ujarnya.

Mengulas mengenai persediaan, Nor Shariza berkata, dia dan suaminya melaksanakan perbelanjaan mengikut keperluan.

“Sebab pembukaan sekolah kali ini pun bertindih dengan bulan puasa dan kemudian diikuti dengan sambutan hari raya. Jadi kena berjimat juga, ujarnya yang turut mengakui berlakunya peningkatan harga barangan keperluan sekolah di pasaran.

Desmiyenti Damsir.

Bagi Desmiyenti Damsir pula, dia tidak melakukan perbelanjaan yang banyak bagi keperluan pakaian sekolah tiga anaknya yang masih bersekolah rendah.

Tahun lepas sudah ada baju sekolah yang tidak kerap digunakan sebab lebih banyak guna baju sukan. Jadi, baju itu masih boleh digunakan.

Tahun ini dapat berjimat sedikit, cuma kami lebihkan untuk membeli keperluan alat tulis.

Sementara itu, mengulas mengenai masalah dalam penilaian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dibangkitkan ibu bapa dalam media sosial, Desmiyenti mengakui bahawa beliau tidak begitu jelas dengan kaedah berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau tidak begitu risau kerana anaknya dilihat tidak mempunyai masalah untuk menguasai pembelajaran yang diajarkan di sekolah.

“Apabila berjumpa dengan cikgu, mereka semua baik-baik sahaja. Anak saya pun tiada bangkitkan apa-apa masalah.

“Kemudian, apabila kita tanya tentang apa-apa yang dia belajar pun dia tidak ada masalah untuk jelaskan, termasuklah dalam perkara asas seperti membaca dan mengira,” ujarnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi