Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kuala Lumpur – Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menegaskan bahawa tanggungjawab sosial dalam pembangunan negara harus dipadankan dan diukur dari segi tahap kemampuan setiap golongan masyarakat, khususnya kaum wanita.
Titah Tuanku Raja Puan Muda Perlis,
Dalam era kini, wanita bukan sekadar sebagai pendukung, pengikut dan penyokong kepada setiap keputusan yang ditetapkan.
“Berilah tempat dan peluang yang lebih utama kepada golongan wanita dalam membuat sesuatu keputusan dasar, terutamanya dalam bidang sosial.
Demikianlah titah baginda selepas berkenan menerima kunjungan sembah mengadap delegasi dari Jabatan Syariah dan Undang-Udang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM) di Istana Arau.
Delegasi APIUM yang terdiri daripada seramai sembilan orang pensyarah kanan jabatan itu diketuai oleh Dr. Mohd Zaidi Daud selaku Ketua Jabatan, Prof. Datuk Dr. Ahmad Hidayat Buang serta Prof. Datin Dr. Raihanah Abdullah.
Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah merupakan alumni UM dan telah lulus bergraduasi sebagai ‘Doctor of Philosophy’ (PhD) daripada APIUM, baru-baru ini.
Pada masa yang sama, Tuanku Raja Puan Muda turut berharap agar semua golongan wanita bersama-sama membangunkan negara walau dalam apa-apa jua cabaran yang dihadapi, khususnya cabaran semasa ekonomi dan sosial.
Baginda juga bertitah,
Bersama-samalah kita dalam usaha menyumbangkan peranan dan tenaga demi pembangunan keluarga, masyarakat, negeri dan juga negara. Insya-Allah.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Dalam perkembangan lain, delegasi APIUM tersebut turut mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi daripada Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) bagi meneroka potensi kolaborasi baharu antara kedua-dua belah pihak.