Diterbitkan pada 23 Januari 2024, 20:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) hibrid di sekolah dilihat lebih anjal dan melibatkan bilangan murid yang banyak pada satu-satu masa serta menjadikan mod pengajaran yang fleksibel oleh guru.

PdP hibrid menjadi satu daripada kaedah penyelesaian yang mampu mengurangkan isu kekurangan guru dan pada masa yang sama menjamin setiap anak mempunyai satu peluang untuk belajar.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh berkata sedemikian dalam ucapan perasmian penutupan semasa Program Dimix@Karnival Digital yang berlangsung di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina [SJK (C)] Mun Yee di Setapak, Kuala Lumpur, pada hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh semasa ucapan perasmian penutup Dimix@Karnival Digital di SJK (C) Mun Yee, Kuala Lumpur.

Tambah beliau, “PdP hibrid yang dicadangkan merupakan gabungan dua pendekatan, iaitu secara bersemuka dan secara dalam talian di mana murid dalam beberapa kelas akan dipecahkan kepada dua kumpulan dan mengikuti PdP hibrid berdasarkan jadual yang diberikan oleh sekolah.”

Perkara ini selaras dengan Dasar Pendidikan Digital yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 28 November 2023 yang lalu yang memberikan fokus kepada sistem pembudayaan dan penyepaduan teknologi pendidikan dalam proses PdP di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, YB Wong Kah Woh meninjau reruai pameran oleh rakan strategik dan murid SJK (C) Mun Yee.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru agar pihak yang terlibat dapat menganjurkan lebih banyak program yang dapat meningkatkan kompetensi guru sebagai langkah ke hadapan bagi menerokai teknologi pendidikan demi keberhasilan dan kemenjadian murid.

YB Wong Kah Woh sempat menjalani simulasi PdP hibrid mata pelajaran Bahasa Melayu yang melibatkan murid SJK (C) Mun Yee secara bersemuka di Makmal STEAM bersama-sama murid Sekolah Haixin, Qingdao, China dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur secara dalam talian.

Murid SJK (C) Mun Yee menjalani simulasi PdP hibrid bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Dianggarkan lebih 55 buah sekolah di Kuala Lumpur sudah menjalankan PdP hibrid termasuk SJK (C) Mun Yee dan jumlah itu dijangka akan terus meningkat.

Turut diadakan dalam majlis yang sama ialah Sesi Tandatangan Rakan Strategik antara SJK (C) Mun Yee dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), SK Taman Sri Rampai, Hisense Malaysia dan Dynabook Malaysia.

Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan KPM, Encik Zainal Abas dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Encik Roslan Abu Hassan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi