Diterbitkan pada 6 Januari 2024, 21:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Berikutan kejadian salah laku buli yang tular dalam media sosial pada hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memandang serius perkara ini dan telah mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan dengan isu tersebut. Kes ini berada dalam perhatian KPM dan siasatan sedang dijalankan bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan segera.

KPM telah mengambil langkah-langkah awal bagi menangani kes ini berdasarkan kepada Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 Tahun 2023: Pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli di Institusi Pendidikan Bawah KPM. Hal ini termasuklah dengan menghubungi ibu bapa atau penjaga, menjalankan siasatan yang telus dan terperinci, memaklumkan kes kepada Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada semua murid yang terlibat.

Pihak sekolah juga telah diminta untuk memastikan tindakan disiplin diambil ke atas murid yang bersalah dan salah laku berkenaan direkodkan. KPM tidak berkompromi dengan salah laku buli di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya.

Pada masa sama, KPM menyeru semua pihak termasuklah media dan orang ramai untuk mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada dengan tidak menularkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam salah laku buli. Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] memperuntukkan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam kes jenayah tidak boleh didedahkan dan perlu dilindungi. Kerjasama seluruh masyarakat juga diminta untuk tidak menormalisasikan salah laku buli.

KPM menyediakan empat saluran utama bagi membolehkan murid, ibu bapa dan masyarakat untuk membuat aduan mengenai kes buli dan gangguan seksual menerusi talian khas Aduan Buli, aplikasi WhatsApp, emel adubuli@moe.gov.my dan aduan buli di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi