Diterbitkan pada 22 Disember 2023, 19:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jurufoto: Mohd Farid Janudin

Kuala Lumpur – Bersempena dengan Anugerah Buku Negara (ABN) 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berjaya meraih tiga kategori industri, iaitu Buku Umum Terbaik (Puisi) bagi buku Daku Kembara Lagi: Manifestasi Lukisan dan Puisi; Ilustrator Terbaik bagi buku Kala Kesunyian Membingitkan dan Buku Biografi Terbaik (Tokoh Kewartawanan) bagi buku Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail yang diadakan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada petang ini.

Tiga buku terbitan DBP berjaya meraih anugerah dalam Anugerah Buku Negara 2023 yang diadakan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, pada petang ini.

Selain meraih kejayaan dalam tiga kategori industri buku tersebut, DBP turut dinobatkan sebagai Penerbit Terbaik (Jabatan Kerajaan) yang disampaikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Anugerah Buku Negara yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) semalam.

Sebagai organisasi yang berperanan dalam memajukan industri penerbitan buku bercetak mahupun digital, Yayasan Pembangunan Negara (YBN) telah menyasarkan 10 judul buku baharu harus diterbitkan oleh penerbit pada setiap tahun.

TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam berucap ketika merasmikan Anugerah Buku Negara 2023 (Sidang 2).

Menurut Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam dalam ucapan perasmian pada petang tadi, usaha yang dilaksanakan oleh YPBN harus dihargai dan diharap agar terus mendapat sokongan daripada semua pihak supaya lebih banyak judul buku baharu dapat diterbitkan.

ABN merupakan sebuah majlis berprestij yang diadakan untuk mengiktiraf dan menghargai penulis dan penerbit dalam industri penerbitan di Malaysia yang disertai oleh pelbagai organisasi penerbitan seperti badan kerajaan, badan bukan kerajaan dan institut pengajian tinggi.

YBhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latif bin Abu Bakar merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola YPBN ketika menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut.

Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, YBhg. Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latif bin Abu Bakar berkata, “Penganjuran ABN yang bermula sejak tahun 2005 merupakan usaha untuk memberikan pengiktirafan kepada penggiat buku, sama seperti penggiat industri lain.”

Pada majlis yang sama turut diadakan Majlis Pelancaran Kelab Penulis Sahabat Yayasan Pembangunan Buku Negara yang merupakan kerjasama antara Universiti Malaya dengan YPBN yang memfokuskan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam industri pertanian dan perikanan.

Antara tetamu kenamaan yang turut hadir dalam Majlis Anugerah Buku Negara 2023 (SIdang 2) bagi meraikan kejayaan penerbit buku tanah air.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, YB. Puan Hannah Yeoh; Presiden Yayasan Pembangunan Buku Negara, YBhg. Dr. Haji Hassan bin Hamzah; Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md. Taff; Naib Canselor Universiti Malaya, YBhg. Dr. Noor Azuan bin Abu Osman; Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja dan Orang Besar Lapan Negeri Perak Darul Ridzuan, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ramli bin Ngah Talib dan penggiat buku yang diraikan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi