Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Hanafi Mohd. Yusof
Tanjung Malim – Mana-mana pihak yang mahu menulis surat atau dokumen rasmi kepada mana-mana jabatan kerajaan mestilah menggunakan bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.
Saya tetap tegaskan bahawa saya tidak mahu bertolak ansur tentang penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan.
Tegas Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Perasmian Anugerah Buku Negara (ABN) 2023, yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada pagi ini.
Sebelum ini, YAB Perdana Menteri dalam Majlis Perasmian Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan, yang berlangsung di Universiti Multimedia, Cyberjaya, pada 25 Oktober lalu, telah memberikan peringatan yang sama bahawa sebarang surat rasmi yang diutus kepada kerajaan perlu menggunakan bahasa Melayu.
Penguasaan bahasa kebangsaan mesti diperkasakan dengan syarat semua rakyat perlu menguasai bahasa kebangsaan dan pada masa yang sama kita, khususnya generasi muda perlu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris untuk peningkatan ilmu pada peringkat antarabangsa, begitu juga dengan bahasa Mandarin yang merupakan antara bahasa ekonomi terpenting di dunia.
Walau bagaimanapun, saya tetap tidak mahu bertolak ansur tentang penggunaan bahasa kebangsaan dalam surat dan dokumen rasmi kerajaan. Oleh itu, semua rakyat di negara ini perlu menguasai bahasa Melayu dan pada masa yang sama kuasailah bahasa ilmu yang lain.