Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian tentang kebimbangan masyarakat mengenai video tular di media sosial mengenai program di sebuah sekolah yang memaparkan unsur ekstremisme. Penganjuran program ini adalah di luar tempoh waktu pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin dan tidak mengikut panduan yang ditetapkan oleh KPM.
KPM menggalakkan penganjuran Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan bawah kelolaannya yang dijadualkan berlangsung pada 29 Oktober hingga 3 November 2023. Program ini bertujuan untuk mendidik murid tentang nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi kemanusiaan, keamanan dan kedamaian sejagat.
Oleh itu, KPM tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme sepanjang penganjuran program Minggu Solidariti Palestin. Penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi adalah tidak dibenarkan sama sekali. KPM menggalakkan penganjuran aktiviti-aktiviti yang mendukung isu kemanusiaan seperti tayangan video kedamaian, sayembara puisi kemanusiaan, pertandingan lukisan poster bertemakan kedamaian dan kutipan sumbangan kepada rakyat Palestin sepanjang pelaksanaan program ini. Semua institusi bawah KPM diminta untuk sentiasa mengikut panduan penganjuran yang telah ditetapkan.
Minggu Solidariti Palestin perlu dijadikan platform untuk mendidik murid tentang nilai-nilai murni, toleransi, kasih sayang dan saling hormat menghormati.