Diterbitkan pada 26 Oktober 2023, 20:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyahut pendirian kerajaan untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin. Sokongan ini merupakan satu bentuk solidariti terhadap nilai kemanusiaan yang mementingkan kedamaian dan keamanan sejagat.

Pada masa yang sama, kemajuan teknologi media dan komunikasi pada hari ini menyebabkan murid-murid terdedah kepada pelbagai jenis kandungan termasuk yang berkaitan dengan konflik antarabangsa dan krisis kemanusiaan. Pelaksanaan intervensi diperlukan untuk memberikan pencerahan kepada murid-murid berkenaan perkara ini.

Oleh itu, mengambil kira perkembangan situasi semasa, KPM akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin bermula pada 29 Oktober hingga 3 November 2023. Program ini melibatkan semua institusi pendidikan bawah KPM, iaitu sekolah, Kolej Vokasional, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru seluruh negara. Program ini bertujuan untuk mendidik murid-murid menerusi nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan, selain sikap empati dan keprihatinan terhadap penderitaan yang dialami individu lain tanpa mengira bangsa, agama atau status sosial.

Minggu Solidariti Palestin merupakan kesinambungan penerapan nilai-nilai murni yang berteraskan sikap hormat-menghormati, kasih sayang, bertanggungjawab dan kegembiraan seperti yang terkandung dalam Pendidikan Sivik di sekolah. Selain itu, menerusi penganjuran program ini murid-murid turut diberi pendedahan kepada Elemen Merentas Kurikulum (EMK) khususnya yang berkaitan dengan kelestarian global. Pelbagai aktiviti akan dilaksanakan sepanjang program ini dan akan disesuaikan berdasarkan kepada garis panduan sedia ada, sekolah dan kumpulan murid terlibat. Aktiviti kerohanian seperti solat hajat dan bermunajat pula hanya akan melibatkan murid-murid beragama Islam sahaja.

KPM sentiasa berusaha memupuk nilai kemanusiaan dan mencintai keamanan sejagat dalam kalangan murid-murid agar sentiasa cakna dan responsif terhadap isu semasa.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi