Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBachok – Bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) dan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) Peringkat Negeri Kelantan, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Bachok telah mengadakan Program Majalah Dalam Kelas (MDK) Dewan Siswa di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok, pada hari ini.
Pelibatan sebanyak 110 orang murid serta 20 orang guru tersebut terdiri daripada 10 buah sekolah menengah di sekitar daerah Bachok, Kelantan turut membuktikan bahawa majalah mampu dijadikan sebagai rujukan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas.
Menurut Editor Dewan Siswa, Puan Siti Irni Yuslinda Mosman, setiap ruangan yang terdapat dalam majalah Dewan Siswa mampu menjadi rujukan buat murid dalam memperoleh maklumat berkaitan dengan isu semasa yang berlaku di dalam negara mahupun di luar negara.
Tambah beliau,
Selain mempunyai ruangan umum seperti rencana, Dewan Siswa turut mempunyai ruangan kreatif seperti “Puisi Siswa” dan “Cerpen Siswa” yang memberikan peluang kepada penulis remaja yang ingin berkarya.
“Bagi setiap karya puisi dan cerpen yang disiarkan dalam ruangan “Puisi Siswa” dan “Cerpen Siswa”, penulis turut berpeluang mendapatkan ulasan daripada penulis mapan iaitu Puan Mahaya Mohd. Yassin bagi puisi dan Dr. Mawar Safei bagi cerpen,” ulas Puan Siti Irni.
Selain taklimat, Program MDK Dewan Siswa turut mempunyai sesi didik hibur seperti “Menukarkan Rencana kepada Pantun”, “Meneruskan Cerpen” dan “Kuiz Menara Belon” yang dapat menarik minat murid dan guru tentang ruangan yang terdapat dalam majalah tersebut.
