Diterbitkan pada 22 Oktober 2023, 09:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Program Hari Potensi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) merupakan acara tahunan dan dijadikan sebagai aktiviti kokurikulum tabika yang melibatkan kanak-kanak seawal usia lima dan enam tahun yang mengikuti pendidikan awal kanak-kanak di Tabika KEMAS seluruh Malaysia. Program tersebut merupakan pertandingan yang bermula pada peringkat daerah/parlimen/zon, kemudian ke peringkat negeri dan seterusnya akan mewakili negeri masing-masing ke peringkat kebangsaan.

Tujuan utama program itu diadakan termasuklah untuk mencungkil bakat; memupuk nilai murni; membentuk keyakinan diri; memberikan kecergasan mental dan ketangkasan fizikal; mengembangkan minat, kreativiti dan estetika; serta menghargai warisan budaya dalam kalangan kanak-kanak prasekolah selaras dengan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tema Hari Potensi KEMAS pada tahun ini ialah “Mencorak Sahsiah Generasi Era Digital Merentas Seni”. Hari Potensi KEMAS pada tahun 2023 memberikan fokus untuk membentuk perwatakan kanak-kanak era digital yang berakhlak berdasarkan prinsip kekuatan moral dan berintergriti tinggi selaras dengan keperluan kemahiran abad ke-21 dan konsep Malaysia MADANI.

Ucapan perasmian penutup bagi Program Hari Potensi Kemas peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, YBhg. Datuk Azman Abidin. Dalam ucapan beliau, beliau berharap agar ibu bapa dapat memberikan contoh yang terbaik untuk mendidik anak-anak agar menjadi generasi pelapis harapan negara. Beliau juga berharap agar ibu bapa mendedahkan anak-anak dengan kemahiran digital bagi membentuk mereka menjadi bakat yang berkualiti untuk membangunkan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi