Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGambar: Siaran Langsung Youtube Konvokesyen IPG KPM
Putrajaya – Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (IPG KPM) Ke-13 Tahun 2023 bagi sidang pertama telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, YB Fadhlina Sidek di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya, pagi tadi.
Konvokesyen yang diadakan selama empat hari bermula hari ini dengan dua sidang setiap hari menerima seramai 5725 graduan mengikut pengkhususan.
Bagi sidang pertama sesi pagi, seramai 750 graduan daripada Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian ambilan Jun 2019 yang bergraduasi dengan pengkhususan Bahasa Arab Pendidikan Rendah, Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Islam Pendidikan Rendah.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Fadhlina Sidek menegaskan bahawa setiap graduan mestilah mempunyai sikap optimis dalam waspada, khususnya yang terkait rapat dengan cabaran pendidikan berteraskan digital dan Revolusi Industri 5.0.
Sikap optimis dalam waspada akan mempersiapkan kita sebagai pendidik yang akan mampu berdepan dengan apa jua rintangan dan apa jua hentakan walaupun kita berdepan dengan hentakan-hentakan ekonomi, pandemik dan sebagainya, tetapi daya juang dalam dunia pendidikan ini akan kita hadapi dengan penuh daya juang yang tinggi sekiranya kita telah pun bersiap siaga.

Sementara itu, YB Fadhlina Sidek juga menyatakan bahawa graduan haruslah mempraktikkan kod etika keguruan semasa menjalankan tanggungjawab sebagai guru bagi menjaga kemuliaan dan memartabatkan profesion keguruan.
Ujar beliau lagi,
Dalam konteks ini juga, suka saya mengingatkan para graduan agar menjaga etika keguruan dengan sebaik-baiknya. Profesion keguruan sememangnya mempunyai kod etikanya yang tersendiri demi menjaga imej profesion keguruan seperti yang termaktub dalam Ikrar Guru dan Standard Guru Malaysia 2.0.
Melalui ucapan Timbalan Rektor, Pusat Pembangunan Latihan, IPG KPM, iaitu YBrs. Dr. Yazid Abdul Manap, beliau menyatakan bahawa IPG KPM sentiasa berusaha untuk mempersiap siaga bakal pendidik dengan pelbagai ilmu dan kemahiran bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan, khususnya dalam menuju Revolusi Industri 5.0.
Tambah beliau,
IPG KPM juga turut berperanan sebagai peneraju Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) dan Objek Pembelajaran Digital (OPD) dengan menjadikan amalan KPPB dan OPD sebagai satu teras utama dalam pelakasanaan Pengajaran dan Pembelajaran di 27 kampus IPG.

Selanjutnya, Anugerah Kecemerlangan Akademik pengkhususan Bahasa Arab Pendidikan Rendah disandang oleh graduan Mohamad Fikri Russeli (IPG Kampus Pendidikan Islam), Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Praktikum pengkhususan Pendidikan Awal Kanak-kanak dianugerahkan kepada graduan Siti Balqis Az Zahra Deraman (IPG Kampus Perempuan Melayu), Anugerah Kecemerlangan Akademik pengkhususan Pendidikan Islam Pendidikan Rendah diterima oleh graduan Farhah Athirah Abdul Hakim (IPG Kampus Pendidikan Islam), Anugerah Praktikum pengkhususan Bahasa Arab Pendidikan Rendah dianugerahkan kepada graduan Aisya Abdul Rahim (IPG Kampus Pendidikan Islam), dan Anugerah Praktikum pengkhususan Pendidikan Islam Pendidikan Rendah diterima oleh graduan Nur Asraa Mohd Rosli (IPG Kampus Pendidikan Islam).





Selain itu, bagi Anugerah Khas Kokurikulum pengkhususan Pendidikan Jasmani Pendidikan Rendah pula disandang oleh graduan Anies Atierah Mohamad Noor (IPG Kampus Temenggong Ibrahim) yang membawa pulang anugerah berupa sijil, trofi dan wang tunai sebanyak RM1000 sumbangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP).

Seterusnya, penerima Anugerah Khas Kepimpinan ialah graduan Muhammad Asyraf Sa’adon yang berpengkhususan Pendidikan Islam Pendidikan Rendah (IPG Kampus Tun Abdul Razak) yang membawa pulang anugerah berupa sijil, trofi dan wang tunai sebanyak RM1000 sumbangan NUTP.
Di samping itu, penerima Anugerah Emas ialah graduan Khairul Shuib Khairul Azizi yang berpengkhususan Pendidikan Jasmani Pendidikan Rendah (IPG Kampus Temenggong Ibrahim) yang membawa pulang anugerah berupa sijil, trofi dan wang tunai sebanyak RM1500 sumbangan NUTP.


Sebagai rekod, antara tetamu kehormat yang turut hadir termasuklah YBrs. Dr. Ismail Mohamed (Timbalan Rektor, Pusat Peperiksaan dan Penanugerahan, IPG KPM); YBrs. Dr. Yazid Abdul Manap (Timbalan Rektor, Pusat Pembangunan Latihan, IPG KPM); YBhg. Tan Sri Dato Haji Alimuddin Haji Mohd Dom (Mantan Ketua Pengarah, KPM); YBhg. Tan Sri Dr. Haili Dolhan (Mantan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Malaysia, dan Mantan Rektor, IPG KPM); YBrs. Dr. Noriati A. Rashid (Timbalan Rektor IPG KPM), YBhg. Dato’ Sulaiman Wak (Mantan Ketua Pengarah, KPM dan Mantan Rektor, IPG KPM) dan wakil dari NUTP (selaku penaja hadiah bagi graduan terbaik).
