Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuantan – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek telah menyempurnakan Program Saringan Penentuan Murid Berkeperluan Khas (PROSPER) di Sekolah Kebangsaan Chengal Lempong, Kuantan, hari ini. YB Fadhlina Sidek turut berkesempatan melihat sendiri proses-proses saringan bersama-sama murid dan ibu bapa.
Program saringan PROSPER pada kali ini adalah yang terakhir dilaksanakan pada tahun ini. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pendidikan Khas telah melaksanakan PROSPER di seluruh negara bermula pada bulan Julai hingga Oktober 2023.
Sebanyak 91 PROSPER telah dilaksanakan melibatkan saringan ke atas 5500 murid. Pelaksanaan PROSPER melibatkan pegawai bidang khusus Bahagian Pendidikan Khas, Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di seluruh negara.
Program ini turut mendapat sokongan yang erat daripada bahagian sektor operasi sekolah KPM, pegawai dan pasukan perubatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak universiti awam seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIA) serta agensi swasta.
PROSPER memfokuskan aktiviti saringan kepada murid pemulihan khas berumur sembilan tahun dan ke atas yang didapati tidak menguasai kemahiran membaca, mengira dan menulis (Kemahiran 3M). Berdasarkan pemerhatian guru, murid ini juga turut menunjukkan ciri-ciri ketidakupayaan yang perlu disaring bagi tujuan mengesahkan kategori ketidakupayaan jika berkaitan.
Ibu bapa atau penjaga juga akan diberi khidmat nasihat terhadap program pendidikan serta intervensi yang bersesuaian mengikut keperluan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK). PROSPER yang lengkap melibatkan 10 stesen yang perlu dilalui oleh murid.
MBPK yang telah disahkan berdasarkan enam kategori seperti dinyatakan di bawah ditempatkan di sekolah pendidikan khas, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Program Pendidikan Inklusif (PPI) mengikut kesesuaian mereka seperti yang berikut:
i. Ketidakupayaan pendengaran;
ii. Ketidakupayaan penglihatan;
iii. Ketidakupayaan pertuturan;
iv. Ketidakupayaan fizikal;
v. Masalah pembelajaran (merangkumi Down Sindrom, Autisme, Attention Defect Hyperactive Disorder atau ADHD); dan
vi. Ketidakupayaan pelbagai
Peluang pendidikan yang disediakan oleh KPM ini sewajarnya dimanfaatkan dan dioptimumkan oleh ibu bapa serta penjaga agar anak-anak mendapat hak dalam pendidikan di negara ini. KPM telah menyediakan laluan pendidikan bagi MBPK dalam bentuk laluan tipikal atau laluan alternatif yang mempunyai kaitan dengan kurikulum yang diikuti oleh MBPK.
YB Fadhlina Sidek dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa komitmen berterusan KPM adalah untuk memastikan murid-murid MBPK mendapat peluang pendidikan terbaik sama seperti murid-murid dalam aliran perdana. Hal ini terbukti menerusi pengumuman Belanjawan 2024 yang memperuntukkan lebih RM180 juta bagi tujuan pembinaan 18 blok bangunan baharu pendidikan khas dan sebanyak RM30 juta untuk membekalkan peralatan serta kemudahan sokongan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah.
Menurut beliau, tiada anak-anak yang akan dipinggirkan dalam memastikan agenda pendidikan manusiawi tercapai. Oleh itu, KPM berharap agar pelbagai program dan aktiviti yang dilaksanakan khususnya saringan dan intervensi dapat meningkatkan lagi keupayaan MBPK dalam meneruskan kelangsungan kehidupan mereka selepas tamat persekolahan seterusnya dapat melahirkan anak yang baik lagi cerdik (ABC) bagi membangunkan agenda Malaysia MADANI.