Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Mohd Farid Janudin
Kuala Lumpur – Isu gangguan seksual bukanlah sesuatu perkara yang baharu dalam kalangan masyarakat dan isu tersebut merupakan jenayah yang harus dibendung demi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat dapat dipelihara.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Hajah Aiman Athirah binti Sabu ketika menyampaikan ucaptama dalam “Program Jerayawara Kasih KPWKM @ Advokasi” yang diadakan di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya, cabaran utama dalam menangani gangguan seksual adalah usaha untuk memberikan pemahaman kepada masyarakat termasuk di dalam organisasi berkaitan dengan gangguan seksual tersebut.

Tambah beliau,
Sesetengah pelaku mungkin beranggapan bahawa tidakan mereka sebagai jenaka yang tidak membahayakan mana-mana pihak. Normalisasi perlakuan tersebut seharusnya tidak boleh berlaku. Tiada ruang yang wajar diberikan terhadap gangguan seksual, sama ada secara terang-terangan atau jenaka.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah kes gangguan seksual meningkat daripada 378 kes pada tahun 2020 kepada 506 kes pada tahun 2021.
“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merupakan negeri kedua tertinggi yang merekodkan kes gangguan seksual di Malaysia selepas Selangor, termasuklah kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak,” tegas YB Datuk Hajah Aiman Athirah.
Selain wanita dan kanak-kanak, golongan lelaki turut menjadi mangsa gangguan seksual apabila terdapat 1012 laporan mangsa yang telah direkodkan kepada Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) sepanjang 11 siri jerayawara ini diadakan.

Ketika mengulas dengan lebih lanjut berkaitan dengan bantuan yang disalurkan oleh KPWKM, YB Datuk Hajah Aiman Athirah memaklumkan bahawa khidmat sokongan untuk remaja melalui Pusat Remaja KafeTEEN telah dilaksanakan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyediakan khidmat kaunseling dan perkhidmatan kesihatan bagi membantu remaja mengatasi masalah fizikal, mental dan sosial.
Pada masa yang sama, Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) telah digubal sebagai satu penting kerajaan bahawa kesalahan gangguan seksual merupakan satu perlanggaran terhadap hak asasi manusia.
Yang turut hadir dalam program pada pagi ini ialah Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff; Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, YBrs. Dr. Wan Nur Ibtisam binti Wan Ismail; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaya, YBrs. Prof. Dr. Sabri bin Musa; Ketua Pengarah LPPKN, YBrs. Encik Abdul Shukur bin Abdullah dan tetamu yang lain.