Diterbitkan pada 14 Oktober 2023, 18:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada petang semalam memaklumkan bahawa “Belanjawan MADANI Kedua” memberikan keutamaan berkaitan dengan aspek pendidikan demi memastikan hasrat membina Malaysia MADANI yang berdaya maju dan mampu bersaing pada peringkat global tercapai.

Dalam Belanjawan 2024, sebanyak RM58.7 bilion telah diperuntukkan kepada Kementerian Pendidika Malaysia (KPM) dan menjadikan kementerian tersebut sebagai penerima peruntukan terbesar.

Daripada keseluruhan peruntukan tersebut, sebanyak RM2.5 bilion diperuntukkan untuk pembinaan 26 buah sekolah baharu. Hal tersebut termasuk SMK Laya-laya, Sabah; SMK Baie, Sarawak; SMK Seri Melati, Pahang; SMK Bandar Universiti, Perak dan SMK Binjai, Kelantan. Manakala sebanyak RM82 juta pula disediakan untuk pembinaan 26 bangunan baharu prasekolah.

Sebanyak RM1.9 bilion diperuntukkan untuk menaik taraf dan menyelenggara sekolah di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, RM930 juta diperuntukkan untuk kerja naik taraf bangunan dan prasarana daif yang melibatkan 450 buah sekolah, merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 projek di Sabah.

Sebanyak RM1 bilion pula diperuntukkan untuk penyelenggaraan di semua jenis sekolah termasuk Sekolah Pendidikan Khas dengan memberikan tumpuan kepada keperluan murid autism.

Kerajaan turut memperuntukkan RM220 juta untuk pembangunan dua buah institusi Pendidikan Islam baharu, termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Jempol. Negeri Sembilan, di bawah KPM.

Pada masa yang sama, Belanjawan 2024 turut bersetuju meluaskan kriteria pendapatan ibu bapa bagi permohonan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) mengikut kadar pendapatan garis kemiskinan (PGK) RM2589 berbanding dengan RM1500 pada tahun sebelum ini.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan KPM pada hari ini, pemberian bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) turut diperluaskan kepada murid sehingga tingkatan 3 berbanding dengan hingga tingkatan 1 pada sebelum ini.

Bagi pemerkasaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) turut menyaksikan peruntukan khusus sebanyak RM100 juta bagi menyelenggara dan menaik taraf makmal komputer sekolah dan pemerolehan peralatan baharu.

Belanjawan 2024 turut mengutamakan infrastruktur dan peralatan sokongan murid berkeperluan khas (MBPK). Sebanyak RM180 juta disediakan untuk pembinaan 18 blok baharu pendidikan khas.

Peruntukan bagi MBPK turut melibatkan SMK Kubang Rotan, Kedah; SK Bandar Baru Perda, Pulau Pinang dan SMK Dato’ Ali Ahmad, Perlis.

KPM turut menyambut baik inisiatif kerajaan yang menyediakan RM2.4 bilion untuk membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam, termasuk kuarters guru.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi