Diterbitkan pada 13 Oktober 2023, 21:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Pendirian agama yang teguh memainkan peranan yang besar untuk membentuk pemikiran dan pandangan murid agar berada pada landasan yang betul dalam mengejar kejayaan di dunia dan di akhirat.

Bagi melengkapkan lagi modal insan yang berkualiti, pembinaan adab serta akhlak yang baik perlulah diterapkan oleh ibu bapa dan pihak sekolah.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Program Titian Kasih Mega Tahun 2023 bagi Peringkat Sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan (Sekolah Sukan Negeri) di Kangar, baru-baru ini.

Pembentukan disiplin juga perlu seiring kerana pelajar yang berjaya, misalnya, dalam bidang sukan mesti mempunyai disiplin yang tinggi agar dapat mengawal diri untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan selain dilengkapi dengan pembangunan akhlak dalam kehidupan seharian.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Encik Naharudeen Othman dan Pengetua SMK Syed Hassan, Encik Muhamad Rizal Ibrahim.

Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bergambar kenang-kenangan bersama-sama warga pendidik SMK Syed Hassan.

Menurut Encik Muhamad Rizal, SMK Syed Hassan telah melakarkan kecemerlangan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini, iaitu 100 peratus layak sijil serta lulus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

Manakala Gred Purata Sekolah (GPS) meningkat daripada 5.48 kepada 5.08 dan peratus lulus juga meningkat daripada 91.57 peratus kepada  100 peratus dengan kesemua calon seramai 73 orang layak mendapat sijil.

Selain itu, sekolah ini juga turut melakar kecemerlangan dalam bidang sukan seperti meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Muay Thai Amatur 2023 yang ke-18 melalui Amirul Zafran Safuandi dan Muhammad Dalqifh Naufal yang menjuarai Kejohanan Skuasy Majlis Sukan Sekolah Perlis (MSSPs).

Untuk rekod, SMK Syed Hassan telah melahirkan banyak atlet kebangsaan seperti Ahmad Amsyar Azman dalam sukan renang kategori terjun papan anjal, Nur Amyra Rosli dalam sukan lumba basikal, Sairul Amar Ayob dalam sukan badminton, Mohd Nasir Ismail dalam sukan sepak takraw serta Ibrahim Saad dan Saidin Osman dalam sukan bolasepak.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi