Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Kangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan alat fisioterapi berteknologi tinggi (TERAHERTZ) kepada 10 orang penerima daripada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Jejawi yang berlangsung di Dewan Rumah Seri Kenangan, Kompleks Penyayang Dr. Siti Hasmah pada pagi ini.
Dalam majlis pelancaran Majlis Penyerahan Alat Fisioterapi Berteknologi Tinggi (TERAHERTZ) itu, Tuanku Raja Muda Perlis bertitah,
Sumbangan ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, dan diharapkan supaya lebih banyak bantuan dapat disalurkan pada masa akan datang demi kebaikan sejagat.
Keberangkatan tiba baginda disambut baik oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Datuk Johari Mohd Darus, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Ku Chik Ku Mat Esa dan Pengerusi MePro International Sdn. Bhd., Chai Kok Leong.
Turut hadir sama ialah Penaung Pertubuhan Kebajikan Amal Malaysia Sejati (PKAMS), Tunku Rizal Shah Tunku Muszaffar Shah, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengerusi PAWE Jejawi, Hajah Saadiah Habil.
Sementara itu, menurut baginda lagi,
PAWE merupakan sebuah pusat khususnya kepada warga emas untuk menjalankan aktiviti harian dalam komuniti.
Pusat ini memberikan perkhidmatan bercorak pendampingan sosial reaching out dan pembangunan perkembangan kepada warga emas. Program ini melibatkan kerjasama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat dengan agensi luar dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Program ini dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP Perlis) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Majlis Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Jejawi, Pertubuhan Kebajikan Amal Malaysia Sejati (PKAMS) dan MePro International Sdn. Bhd.
Sebelum itu, baginda dan para tetamu telah dipersembahkan taklimat oleh Naib Presiden MePro International Sdn. Bhd., Dr. Soo Kam Seong tentang penggunaan dan kelebihan alat tersebut.