Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Mohamad Adib Zulkifli
Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerima kunjungan hormat daripada Persatuan Penerbit Malaysia (MABOPA) bagi membincangkan peluang kerjasama dalam aktiviti pemerkasaan industri perbukuan negara pada petang tadi.
Menerusi kunjungan tersebut, Presiden MABOPA, Encik Sheikh Faisal Sheikh Mansor menyatakan bahawa hubungan kerjasama itu untuk mempromosikan, memelihara dan menyebarkan warisan dan kepelbagaian budaya Melayu.

MABOPA berhasrat untuk mendapatkan kata-kata tokoh, sasterawan negara atau penulis tersohor yang pernah diterbitkan oleh DBP untuk dipaparkan ketika program WALLS Guadalajara World Book Capital (GWBC) diadakan di Sepanyol.
Selain itu, MABOPA juga akan mengadakan Festival Pembaca dan Penulis Kuala Lumpur 2023 pada 18 dan 19 November 2023 di sekitar Perpustakaan Kuala Lumpur, yang merupakan acara kesinambungan daripada Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia tahun 2020.
Dalam hal ini, kami sangat berbesar hati untuk menjadikan DBP sebahagian daripada penganjur bersama dalam festival ini, yang akan diadakan pelbagai acara menarik seperti Bicara Karya Perdana, Amanat Sasterawan Negara dan pameran serta jualan buku.
Menurut Encik Sheikh Faisal, aktiviti pembacaan dan pengkaryaan ini merupakan satu daripada inisiatif dalam untuk menghidupkan Kuala Lumpur sebagai kota penulisan dan pembacaan selaras dengan Ibu Kota Buku Dunia UNESCO, sekali gus mempergiatkan dunia penerbitan pada peringkat antarabangsa.
Bagi membina komuniti berilmu dan berkualiti, MABOPA akan menyediakan platform latihan secara dalam talian melalui Akademi Penerbitan Buku bermula November ini.
Oleh itu, saya berharap supaya DBP dapat menyalurkan bantuan dalam menggerakkan khidmat dan kepakaran khususnya dalam bidang bahasa, sastera dan penerbitan.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari berkata bahawa DBP menyambut baik segala usaha kerjasama strategik ini dalam memperkasakan bahasa Melayu dan menyebarluaskan aktiviti kebahasaan serta karya tempatan di persada antarabangsa, selaras dengan hasrat perdana menteri.
Dalam kesempatan pertemuan tersebut, Dr. Hazami juga mengundang kerjasama MABOPA dalam Seminar Penerbitan Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan 2024 yang akan berlangsung pada tahun depan.
Delegasi MABOPA yang turut hadir dalam perbincangan ini ialah Timbalan Presiden MABOPA, Che Mazlan Saad, Naib Timbalan II MABOPA, S. Sivabalan, Setiausaha MABOPA, Syazrul Aqram Iman Sulaiman dan pegawai yang lain.