Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Pauh Putra – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyarankan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) agar komited melaksanakan pelbagai program dan kursus seiring dengan pasaran industri.
UniMAP perlu terus berusaha keras bagi memastikan program dan kursus yang ditawarkan adalah menarik, terkini dan memberikan manfaat besar kepada masyarakat, di samping memastikan program berkenaan kekal relevan dalam pasaran pekerjaan.
Usaha ini akan menarik lebih banyak pelajar lepasan sekolah untuk melanjutkan pelajaran di UniMAP.
Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyaksikan Majlis Sanjungan Budi Sempena Serah Tugas Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, Kampus Alam UniMAP, Pauh Putra.
Keberangkatan tiba baginda selaku Canselor UniMAP diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro-Canselor, dan disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Profesor Datuk Dr. Haji Zaliman Sauli.
Majlis tersebut diadakan bagi menghargai segala sumbangan, khidmat bakti dan usaha mantan Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Raja Datuk Azwane Raja Ariff sepanjang tempoh empat tahun dilantik sebagai Pengerusi LPU UniMAP dari 5 Ogos 2019 hingga 4 Ogos 2023.
Pemangku Raja Perlis menzahirkan ucapan terima kasih kepada beliau yang telah menunjukkan usaha dan kesungguhan dalam membantu menjenamakan nama UniMAP dan meningkatkan pengaruh universiti ini di mata pemegang taruh.
Pada masa yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas kepada Tan Sri Datuk Sri Sufri Haji Mohd Zin, iaitu Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Perlis yang baru dilantik pada 16 Ogos 2023 untuk tempoh tiga tahun ini.
Baginda turut bertitah,
Pelantikan Tan Sri Sufri bakal membantu meningkatkan keterlihatan UniMAP.
Pengalaman Tan Sri Datuk Sri Sufri dan ahli Lembaga Pengarah yang lain diharap mampu membantu UniMAP dalam penasihatan strategi dan kerjasama baharu dalam dan luar negara.