Diterbitkan pada 2 September 2023, 15:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hatyai – Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla yang baharu, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi menasihati agar rakyat Malaysia yang ingin melawat ke Thailand agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan juga dokumen penting.

Sentiasalah patuh serta menghormati undang-undang tempatan semasa berada di Thailand dan berhubung rapat dengan pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

Rakyat Malaysia juga diingatkan ketika berada di pintu sempadan semasa ingin keluar Thailand, pastikan semak dan cop keluar (Exit stamp and date) telah diberikan oleh pegawai Imigresen Thailand sebelum meninggalkan kaunter Imigresen.

Terdapat banyak kes dilaporkan apabila tiada cop keluar diberikan semasa di pintu sempadan (Thailand) dan jika ini berlaku rakyat Malaysia yang berkenaan perlu hadir semula ke pejabat Imigresen Thailand di pintu sempadan berkenaan untuk melengkapkan formaliti berkaitan.

Sekiranya rakyat Malaysia tidak mengikuti prosedur yang telah ditetapkan, mereka akan dikenakan denda dan akan disenarai hitamkan daripada memasuki Thailand pada kemudian hari.

Pada kesempatan yang sama,  beliau yang sebelum ini merupakan Menteri Penasihat di Kedutaan Besar Malaysia di Seoul, Korea Selatan baru sahaja melapor diri di Songkhla pada 25 Ogos 2023 turut mengucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang bermastautin di Selatan Thailand, “Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia ke-66” dan berharap sambutan kali ini merupakan sesuatu yang amat bermakna dan meriah kepada semua.

Demikian menurut siaran media Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dipesankan oleh Ahmad Fahmi selepas menerima Sumbangan Ibnu Sabil bagi pihak pejabat Konsulat Jeneral berjumlah RM5000 daripada MAIPs yang diserahkan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Hat Yai baru-baru ini.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir ialah Konsul Jeneral Indonesia di Songkhla, Thailand, Suargana Pringganu.

Keberadaan baginda berdua di wilayah tersebut pada kali ini adalah bersempena dengan Kayuhan Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-66 dan juga Kempen Promosi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 di sekitar Mukim Khlong Ngae, Sadao.

Inisiatif Ibnu Sabil ini merupakan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk digunakan oleh pihak pejabat perwakilan terpilih untuk membantu masyarakat Malaysia yang mengalami sebarang masalah dan kesusahan ketika berada di luar negara.

Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Yang DiPertua MAIPs menzahirkan agar usaha dan kerjasama menerusi program yang memberikan manfaat dalam kalangan umat Islam di Perlis dan Wilayah Selatan Thailand ini perlu diteruskan.

Perbezaan bahasa dan budaya tidak akan menjadi batu penghalang untuk seseorang mukmin itu membantu saudara Islamnya yang lain.

(Foto: Ihsan MAIPs)

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi