Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJurufoto: Mohamad Adib Zulkifli

Kuala Lumpur – Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa perpaduan rakyat berbilang kaum merupakan kunci utama dalam mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan negara.
Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuh Harapan”, baginda turut bertitah,
Keutuhan perpaduan ini merupakan juga kunci utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara, serta benih dan sumber kekuatan dalam menghadapi apa-apa jua cabaran semasa dan mendatang.
Menerusi hantaran dalam Facebook Istana Negara pada hari ini, DYMM Seri Paduka Baginda YDPA dan Raja Permaisuri turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2023 kepada seluruh rakyat Malaysia di negara ini mahupun rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
“Pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-66 tahun, kita masih dapat bersama-sama meraikan ulang tahun hari bersejarah ini dalam suasana harmoni serta aman dan damai,” titah baginda merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT.


Pada masa yang sama, DYMM Seri Paduka Baginda YDPA menyeru rakyat Malaysia agar mengimbau kembali jasa dan pengorbanan sejarawan negara yang telah menyatupadukan rakyat dengan tekad dan iltizam sehingga kemerdekaan yang diidamkan menjadi realiti. Bagi mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan negara, titah baginda,
Hal ini menjadi tanggungjawab bersama, para pemimpin dan rakyat bukan sahaja memelihara dan mengukuhkan keharmonian serta perpaduan yang dikecapi selama ini, malah perlu menyemarakkannya lagi sesama kita.
Pada kesempatan itu, baginda mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar Malaysia terus dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang berkekalan, serta dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana.