Diterbitkan pada 19 Ogos 2023, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Duta Besar Iran ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Ali Asghar Mohammadi berharap agar dapat terus mewujudkan lebih banyak jalinan kerjasama antara Malaysia dengan Iran termasuklah di Perlis, khususnya dalam sektor pendidikan, perniagaan, teknologi, perikanan dan pertanian.

TYT Ali Asghar turut memuji dasar perbincangan terbuka yang diamalkan di Perlis dan akan meneroka peluang kerjasama dalam bidang dron dan juga teknologi nano bersama-sama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Demikian dimaklumkan beliau kepada Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Masjid Al Hussain Kuala Perlis atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung Kuala Perlis, baru-baru ini.

Beliau yang diiringi oleh Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Penyelidikan Iran di Malaysia, Dr. Mohsen Saraf Bidaba dan Pegawai Kedutaan, Dr. Mehdi Soltanzadeh berada di Perlis selama dua hari iaitu dari 14 Ogos hingga 15 Ogos 2023.

Lawatan kerja tersebut dipenuhi dengan pelbagai pengisian seperti Taklimat Pembangunan Negeri dan Peluang Pelaburan di Negeri Perlis oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) dan juga Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA); lawatan ke Projek Transformasi DiRaja Kampung Warna Warni Seberang Ramai Kuala Perlis; kunjungan hormat ke atas Yang Amat Berhormat Menteri Besar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) serta perbincangan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Pada masa yang sama, beliau juga telah menyempurnakan Syarahan Umum Antarabangsa di Auditorium Bangunan Canselori Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Pauh Putra dan meluangkan masa untuk melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra UniMAP setelah program syarahan itu selesai. Terdahulu daripada itu juga beliau telah melawat Pusat Kecemerlangan Pesawat Tanpa Pemandu (COEUAS), UniMAP Kampus Kangar.

TYT Ali Asghar dalam lawatan itu menyatakan ucapan menjunjung kasih atas layanan  mesra daripada Tuanku Pemangku Raja Perlis serta penghargaan kepada Kerajaan Negeri, MAIPs, UniMAP serta pihak yang terlibat sepanjang dua hari tersebut.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam titah baginda berharap agar kerjasama antara Iran dengan UniMAP dalam bidang dron dan teknologi nano akan menjadi realiti apabila  inisiatif awal sebelum ini terhalang kerana COVID-19 melanda dunia.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi