Diterbitkan pada 17 Ogos 2023, 14:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang
Balik Pulau, Pulau Pinang – Sebanyak 97 orang pelajar terpilih mewakili  setiap sekolah menengah di Perlis mengambil bahagian dalam Bengkel Kearah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang (Towards Excellence Self Esteem Development) Untuk Pelajar Terbaik, Cemerlang dan Pengawas Terpilih Sekolah Menengah di Negeri Perlis 2023 yang diadakan di Hotel Bahang Bay, Teluk Bahang, Pulau Pinang dari 15 Ogos hingga 17 Ogos 2023.
       Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, pada petang semalam.
        Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra, Datuk Johari Mohd Darus, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Naharudeen Othman dan Ketua Eksekutif Northern Corridor Implementation Authority (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan.
       Bengkel ini dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
         Program ini dilaksanakan sebagai pengiktirafan dan penghargaan pihak YTSP Perlis dan MAIPs terhadap para pelajar terbaik dan cemerlang serta para pengawas terpilih dalam kalangan pelajar tingkatan 4 yang berpotensi dipilih sebagai Ketua Murid bagi tahun berikutnya di sekolah masing-masing.
Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Pengerusi YTSP bertitah,
Bengkel yang dicetuskan sejak 15 tahun yang lalu itu adalah atas dasar melahirkan barisan pemimpin yang akan dapat dilatih dan digarap potensi kepemimpinan mereka serta meningkatkan jati diri di kalangan pelajar agar menjadi contoh murid terbilang di kalangan rakan sebaya. Usaha ini juga bagi melahirkan generasi kepimpinan di kalangan anak Perlis yang kompetitif dan unggul.
Tambah baginda,
Ia adalah selari dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk mengembangkan lagi potensi individu dengan melahirkan insan-insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyampaikan titah dalam Bengkel Kearah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang.

 

Baginda juga bertitah bahawa bengkel sebegini juga dilihat dapat membantu melonjakkan kecemerlangan dan kemenjadian murid di Negeri Perlis jika para peserta pulang ke sekolah masing-masing dengan membawa input positif dan berkeyakinan tinggi yang diberikan sepanjang berlangsung bengkel.

            “Dalam konteks untuk memajukan negeri Perlis, pelbagai aspek pembangunan rohani dan jasmani perlu dicapai secara seimbang dan menyeluruh meliputi aspek ekonomi, pentadbiran dan sosial dengan dipimpin oleh seseorang yang mempunyai falsafah hidup yang tinggi. Kita amat berharap supaya akan lahir lebih ramai generasi muda yang berketerampilan yang berupaya menjadi pemimpin yang dikagumi.” tambah Pemangku Raja Perlis itu lagi.
        Majlis pada petang itu diserikan lagi dengan pengurniaan sijil penyertaan kepada 59 orang pengawas yang terpilih dan 38 orang pelajar cemerlang oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi