Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Pauh Putra – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Majlis Penutupan ‘Program Suara dari Lembah Harapan 2023’ yang diadakan di Dewan Kecemerlangan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Pauh Putra, Arau pada hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Jabatan Penjara Malaysia, Dato’ Haji Abdul Aziz Abdul Razak; dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa al-Bakri Abdullah.
Program Suara dari Lembah Harapan merupakan program yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang melibatkan penghuni penjara di bawah seliaan Jabatan Penjara Malaysia.
Objektif program ini adalah untuk memberikan peluang kepada para peserta dalam mencungkil bakat serta ekspresi diri melalui aktiviti kebudayaan dan kesenian.
Menerusi majlis tersebut, baginda menyeru agar semua yang hadir memandang para peserta yang terlibat dalam pelbagai pertandingan ini dengan mata hati yang penuh keikhlasan dan turut berpesan supaya masyarakat membuang segala stigma dan sangkaan buruk terhadap para peserta. Hal ini demikian kerana masyarakat dapat bersama-sama menjadi “ejen” yang ampuh dalam usaha memperbaiki dan mengubah keperibadian mereka.
Dalam majlis yang sama, Tuanku Pemangku Raja Perlis turut berkenan menyempurnakan pelancaran bahan penerbitan Antologi Puisi Minggu Penulis Sinar Harapan.
DYMM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah agar program yang bermakna seperti ini dijadikan sebagai pemangkin kepada pelbagai program susulan yang bererti pada masa hadapan, dalam usaha pembentukan sahsiah dan jati diri kepada para peserta program ini.
Hal ini amat penting bagi mempersiapkan dan memperkasakan diri para peserta untuk menghadapi cabaran sebenar ketika berhadapan dengan masyarakat selepas keluar dari pusat pemulihan.
Pada akhir majlis, Tuanku Pemangku Raja turut berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang pertandingan untuk kategori Teater (Penjara Pusat Kota Kinabalu), Baca Naskhah (Penjara Sungai Petani), Deklamasi Puisi (Penjara Pengkalan Chepa), dan Lagu Puisi (Penjara Kajang).

