Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPagoh – Pemangku Raja Perlis, Raja Muda Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan bahawa setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing dalam mewujudkan masyarakat yang berdaya tahan dan berwibawa untuk mencapai kualiti hidup yang terbaik.
Sumbangan ilmu dan kepakaran daripada ahli akademik, penyelidik, pengamal industri dan pelajar amat diperlukan untuk kemajuan masyarakat dan negara. Hal ini penting untuk kelestarian pertumbuhan intelek dengan bekerjasama antara satu dengan lain.
Menurut baginda, dalam menggalakkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), institusi pengajian tinggi memainkan peranan penting dalam pendidikan ke arah pembangunan mampan untuk melahirkan generasi masa depan yang mampu memastikan pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Kita boleh mencapai matlamat ini melalui perbincangan, penyelidikan dan persidangan yang memberikan tumpuan kepada strategi dan cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan pembangunan masyarakat dan negara.
Titah baginda selepas berkenan merasmikan International Conference on Language, Education and Tourism (ICLET) 2023 secara digital yang dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui “Kursi Jamalullail”, baru-baru ini.
Secara khususnya, persidangan yang diadakan di Kampus UIAM Pagoh, Johor ini membincangkan mengenai “Diversiti dan Transformasi Bahasa, Pendidikan dan Pelancongan ke Arah Masyarakat Mampan”.
Tuanku Pemangku Raja juga berharap agar perbincangan dan perbahasan yang dilaksanakan oleh para pembentang dalam persidangan tersebut dapat meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan memahami dan menghargai kepelbagaian ilmu, penyelidikan dan perbahasan.