Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Tuanku Canselor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) berkenan berangkat mencemar duli bagi menyempurnakan perasmian Majlis Pelancaran Ulang Tahun Ke-10 KUIPs pada pagi tadi di Dewan Mes Pegawai Kanan PDRM Perlis.
Menerusi ucapan perasmian, Tuanku Pemangku Raja Perlis menzahirkan ucapan tahniah kepada KUIPs bersempena dengan ulang tahun Ke-10 sejak penubuhannya pada 17 Jun 2013.

Baginda bertitah bahawa KUIPs perlu menambah penawaran program-program pengajian yang kompetitif di peringkat siswazah dan juga pascasiswazah demi meningkatkan nilai kebolehpasaran para graduannya.
Baginda turut bertitah bahawa,
Ahli akademik dan tenaga pengajar harus lebih proaktif dalam memastikan para mahasiswa mendapat pendidikan yang berkualiti selain silibus pembelajaran yang ditawarkan haruslah selari dengan peredaran masa.
Tuanku Pemangku Raja Perlis turut menyarankan KUIPs yang sedang dalam usaha untuk mencapai status universiti penuh agar memenuhi beberapa kriteria seperti menambah jumlah pelajar supaya mencapai 2000 orang selain berusaha menempatkan kedudukan KUIPs dalam SETARA bagi mencapai tahap lima, khususnya dalam aspek akademik, penyelidikan, penerbitan dan tadbir urus.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Rektor KUIPs, Profesor Dr. Rozaimi Ramle menyatakan bahawa dalam tempoh 10 tahun penubuhannya, KUIPs telah berjaya menempa nama dengan pelbagai kejayaan hasil kerja berpasukan warga KUIPs. Jelas beliau,
KUIPs telah dikenali oleh rakyat Malaysia, masyarakat serantau malah di peringkat global walaupun usianya masih muda. Kesusahan dan usaha pembinaan institusi pendidikan ini pastinya akan diganjari oleh Allah dengan pahala jika kita ikhlas dan tidak akan sia-sia.
Dalam majlis yang sama, Tuanku Pemangku Raja Perlis turut berkenan menyempurnakan gimik simbolik pelancaran logo, kapsul masa berserta Coffee Table Book bersempena dengan Majlis Pelancaran Ulang Tahun Ke-10 KUIPs.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah YAB Tuan Mohd Shukri Ramli, Menteri Besar Perlis; YB Tuan Muhammad Azmir Azizan, Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis; Sahibus Samahah, Dato’ Ariff Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis; YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis; dan Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.