Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFoto: Facebook Mohd Najib bin Khamis
Sepang – “Orang kampung gelarkan saya ‘Jebat Lanjut’, kalau saya ke mana-mana tanpa tanjak, pasti ada yang tanya, mana tanjak?” Begitulah cerita Encik Mohd Najib bin Khamis yang merupakan seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan juga pengusaha busana dan tanjak Melayu tradisional di Kampung Labu Lanjut, Sepang.
Sudah menjadi trend sebilangan anak muda yang gemar mencuba sesuatu yang baharu untuk menonjolkan kreativiti dengan berbusana Melayu berserta dengan tanjak dan menampilkan gaya yang kemas dan segak umpama pahlawan zaman silam.

Tanjak, tengkolok atau destar merupakan busana yang dipakai di kepala oleh lelaki Melayu dan sering dikaitkan dengan istana, kepahlawanan dan kebiasaannya dipakai dalam pelbagai acara dan adat istiadat Melayu. Tanjak pada kebiasaanya akan dipadankan dengan bengkung, samping dan baju Melayu berserta keris yang diselitkan pada bahagian pinggang.
Encik Mohd Najib bin Khamis berkata,
Di kawasan ini, ramai yang memakai tanjak yang dipadankan dengan kemeja-T atau seluar jeans, namun yang mengenakan busana lengkap seperti ini, hanya saya seorang sahaja.

Beliau yang segak mengenakan tanjak anak gajah menyusu mengatakan bahawa tanjak ini dilipat khas, hasil daripada kombinasi beberapa lipatan tanjak yang lain. Walaupun keadaan cuaca pada hari ini tidak menentu, iaitu hujan dan panas, namun perkara itu masih tidak mematahkan semangatnya untuk terus memperagakan keindahan busana Melayu di kawasan tempat pengundian.

Encik Mohd Najib bin Khamis yang merupakan anak jati Kampung Labu Lanjut telah berada di pusat pengundian seawal pukul 7.00 pagi untuk membantu warga emas yang memerlukan kerusi roda untuk ke tempat pengundian. Beliau juga telah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.56 Sg. Pelek, di Sekolah Kebangsaan (SK) Salak, Sepang.
Pada kebiasannya, beliau akan mengenakan pakaian busana Melayu pada hari perayaan, Hari Kebangsaan, majlis kenduri kahwin ataupun pada program tertentu.
Menurutnya lagi,
Saya menganggap hari pengundian ini sebagai hari yang istimewa kerana kita dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi untuk memilih calon pemimpin yang bakal menerajui Kampung Labu Lanjut ini.
Beliau kelihatan cukup selesa mengenakan satu daripada koleksi busana Melayu tradisional miliknya yang lengkap dengan baju berkain songket, berseluar dan bertanjak. Beliau juga mempunyai pelbagai koleksi dan corak busana Melayu serta tanjak yang boleh digayakan mengikut kesesuaian program atau majlis yang dihadiri.

Encik Mohd Najib bin Khamis yang pada awalnya mengumpulkan koleksi tanjak sebagai hobi pada masa lapang, akhirnya telah belajar membuat lipatan tanjak tradisional dan menerima tempahan daripada penduduk setempat. Pada kebiasaannya, beliau akan menerima tempahan tanjak pada musim perayaan dan Hari Kebangsaan.

Menurutnya lagi,
Di alam Melayu ini terdapat beratus-ratus jenis tanjak tradisional yang dihasilkan, namun antara koleksi tanjak tradisional yang diusahakannya termasuklah tanjak takur tukang besi, nakhoda trong, anderiguru selebu dan gajah mengamuk.
Dengan pemilihan fabrik seperti songket dan batik pelbagai motif, corak dan pelbagai rona telah menjadikan tanjak amat menarik untuk dipakai dan digayakan pada program atau majlis tertentu.
Beliau yang turut terlibat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada tahun 2022 mengatakan bahawa, “Jumlah penduduk yang keluar pengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 Negeri Selangor (PRN Selangor) pada kali ini agak berkurangan, jika dilihat pada tahun lepas, pengundi terpaksa beratur panjang untuk menunggu giliran mengundi, namun pada kali ini, agak lengang, mereka tidak perlu beratur panjang untuk mengundi, tetapi boleh terus masuk sahaja ke tempat pengundian.

Sebelum mengakhiri perbualan, Encik Mohd Najib bin Khamis turut menyatakan hasratnya, iaitu:
Kepada mana-mana calon parti yang menang pada PRN Selangor pada kali ini diharap dapat menunaikan janji dan tanggungjawab yang telah diamanahkan, dan yang paling penting, bantulah rakyat yang memerlukan terutamanya yang terkesan selepas pandemik COVID-19.